Anggota polis menggunakan dron bagi memantau pergerakan kenderaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di lebuh raya Persekutuan. GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh  JAIS ABDUL KARIM

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengikuti rapat isu perolehan 16 dron berkuasa tinggi berharga RM48 juta untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam media sosial tular poster yang membandingkannya dengan perolehan dron pihak Polis Amerika Syarikat yang dianggap sama kualiti namun dengan harga lebih murah. Harga RM48 juta itu dikhuatiri tidak munasabah dan dianggap terlalu mahal.

MCW juga memahami kenyataan media PDRM semalam bahawa cadangan perolehan yang telah diluluskan oleh kerajaan itu berdasarkan kajian harga pasaran dengan spesifikasi terkini untuk tugasan taktikal dan pemantauan sempadan yang dianggap luas.

Dengan ketahanan, resolusi tinggi dan kemampuan beroperasi pada waktu malam serta dilengkapi dengan sistem sokongan yang serba canggih maka ia memberi justifikasi yang baik dengan harga tersebut.

Dron berkuasa tinggi yang digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) GAMBAR: Abd Razak Aid

MCW yakin dan percaya PDRM dan KDN telah membuat kajian pasaran berdasarkan Arahan Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia yang berkaitan perolehan demi memastikan kepentingan kerajaan terjaga dan mengelakkan ketirisan dana awam serta memastikan perolehan ini mempunyai ‘value for money’ yang terbaik.

MCW ingin mencadangkan Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan auditan harga dan keperluan spesifikasi dengan membuat perbandingan berdasarkan spesifikasi yang sama. Proses ini penting bagi memperlihatkan ketelusan dan menolak kesangsian awam dalam perolehan ini.

SPRM juga diharapkan dapat membuat siasatan bagi memastikan tiada unsur  tidak diingini berlaku dalam perolehan ini.

MCW memandang serius sikap ‘cybertrooper’ yang menviralkan perkara itu sehingga menimbulkan fitnah terhadap PDRM dan Kementerian Dalam Negeri. Mereka bukanlah ‘punching bag’ atau musuh kita sebaliknya segenap lapisan masyarakat perlu menyokong segala usaha yang sedang mereka lakukan untuk memastikan keselamatan negara terjamin.

MCW berharap tohmahan liar dan jahat seperti ini dapat dihentikan dalam zaman yang sukar sekarang ini agar segala usaha dan fokus perlu diberikan untk menyelamatkan negara kita. Viral poster yang bermotif persepsi jahat terhadap agensi kerajaan mesti disiasat oleh pihak berkuasa bagi mencari niat sebenar pembuat mesej tersebut.

*Penulis adalah Presiden MCW. Artikel ini adalah kenyataan media beliau.