YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen Isnin lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Dalam satu kenyataan Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenakan dan dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Badinda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Baca artikel berkaitan: Darurat tak disambung, ordinan berkaitan dibatalkan – Takiyuddin

Jika dah batal buat apa sidang? Azhar minta Noh bangkit Isnin

Sementara itu, jelas Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran Perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” jelas kenyataan Istana Negara itu.

Dalam kenyataan itu, Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kata Ahmad Fadil, namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” kata kenyataan itu.

Menurut Ahmad Fadil, adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada pihak Kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada hari Isnin lalu (26 Julai, 2021).

“Ianya adalah sejajar dengan saranan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang telah diadakan pada 16 Jun, 2021 supaya persidangan Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya tempoh Darurat,” katanya.