KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya menambah jumlah hari persidangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung hingga Isnin depan.

Menurut Anwar (PKR-Port Dickson), ramai Ahli Parlimen tidak mempunyai kesempatan untuk menyampaikan pandangan dalam sesi kali ini kerana keterbatasan masa.

Walaupun bersetuju dengan pandangan Azhar Azizan bahawa Sidang Khas itu hanya boleh dilanjutkan sehingga 5.45 petang setiap hari, namun Anwar meminta pertimbangan supaya menambah hari persidangan.

Pada masa sama, Anwar turut meminta penjelasan atau jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai isu tersebut.

“Saya minta pertimbangan Yang Dipertua bincang dengan menteri untuk menambah hari, umpamanya isu pendidikan tidak dapat dibahaskan secara terperinci.

“Beberapa isu lain termasuk kesihatan dan COVID-19 juga, ramai tak dapat menyampaikan pandangan.

“Dengan semua keterbatasan waktu tiga ke empat jam, itu kita boleh terima. Kalau ditambah hari, tak semestinya 10 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Menjawab isu yang dibangkitkan itu, Azhar Azizan menegaskan kuasa untuk melanjutkan waktu persidangan tidak terletak di bawah bidang kuasanya.

Baca artikel berkaitan: Jika dah batal buat apa sidang? Azhar minta Noh bangkit Isnin

Katanya, beliau hanya mempunyai kuasa untuk melanjutkan masa mesyuarat selepas 5.30 petang atau selepas apa-apa masa yang telah ditetapkan majlis mesyuarat tidak melebihi 15 minit sahaja di bawah Aturan 12 (3).

Beliau berkata, terdapat banyak persepsi tidak benar yang berlegar di luar mungkin disebabkan cara perbincangan yang salah dalam Dewan Rakyat.

“Sebenarnya bukan menjadi kuasa saya untuk menambah masa. Aturan 12 (1) mengatakan tiap-tiap persidangan majlis hendalah dimulakan 10 pagi hingga 1 tengah hari, disambung semula pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang atau lebih awal sehingga selesai dalam urusan mesyuarat.

“Aturan 12 (3) pula mengatakan Tuan Yang Dipertua boleh melanjutkan urusan mesyuarat selepas pukul 5.30 petang atau selepas apa-apa masa ditetapkan oleh majlis mesyuarat setakat tidak lebih 15 minit sahaja.

“Itu sebab bila tiap-tiap hari saya duduk yang terakhir itu, saya terus gunakan kuasa budi bicara lain untuk lanjutkan masa sehingga pukul 5.45 petang. Itu maksimum.

“Namun, bawah proviso Aturan 12 (1), dengan syarat bahawa sesuatu usul yang akan diputuskan tanpa pindaan atau bantahan boleh dikeluarkan oleh seorang menteri pada bila-bila masa tanpa pemberitahuan untuk mengubah waktu persidangan majlis.

“Jadi terpulang sebenarnya kepada menteri sekiranya beliau mendapati sesuai dan setuju dengan perkara untuk memanjangkan atau memendekkan atau meminda waktu persidangan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram