Tahukah anda bahawa setiap organ pada tubuh badan kita terbentuk daripada pelbagai jenis sel?

Pada lumrahnya, sel-sel ini akan membuat pembahagian dengan kadar yang terkawal serta dihasilkan mengikut keperluan tubuh seseorang individu.

Apabila kadar penghasilan sel melebihi keperluan, ia akan menghasilkan lebihan tisu. Lebihan tisu ini jugalah yang dikenali sebagai ketumbuhan.

Ketumbuhan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu benign (tumor bukan barah) dan malignan (tumor jenis barah).

Jenis ketumbuhan yang pertama iaitu benign adalah merupakan ketumbuhan yang tidak membahayakan nyawa para penghidapnya. Manakala, malignan atau kanser mempunyai kebolehan untuk menyerang sel normal dan merebak ke seluruh badan.

Oleh itu ketumbuhan malignan boleh menjejaskan kehidupan seseorang individu. Hampir 80 peratus daripada para penghidap ketumbuhan payudara adalah daripada kalangan mereka yang mengalami ketumbuhan jenis malignan ini.

Kaum wanita kini lebih terdedah kepada pelbagai penyakit terutama kanser yang sememangnya memerlukan pengesanan awal. Kanser payudara merupakan kanser paling utama di seluruh dunia.

Manakala, kanser servik pula merupakan kanser yang kedua paling utama di kalangan wanita di dunia, khususnya di kebanyakan negara membangun seperti Malaysia.

Kanser yang melibatkan organ reproduktif (pembiakan) wanita mempunyai implikasi yang sangat besar kepada kehidupan seseorang wanita. Ia disebabkan organ ini merupakan organ yang sangat penting sebagai simbol sifat dan seksualiti seseorang wanita. Di samping peranannya dalam fungsi reproduktif manusia.

KANSER PAYUDARA

Kanser payudara adalah kanser wanita yang paling utama di Malaysia. Golongan yang paling kerap menghidap kanser payudara di Malaysia adalah dalam lingkungan usia 50 hingga 59 tahun.

Kanser payudara adalah merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payudara. Ia berkembang melalui proses pembahagian yang melebihi kadar keperluan organ dan seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran.

Sel-sel barah ini juga mampu untuk membebaskan dirinya daripada ketumbuhan asal dan sekali gus memasuki saluran darah serta sistem perlimpahan (lymphatic system). Inilah juga cara serta kaedah penyakit barah payudara menyerang bahagian-bahagian organ lain para penghidapnya. Proses penjangkitan ini juga dikenali sebagai metastasis.

Kanser ini adalah pembunuh senyap yakni golongan wanita yang menghidap kanser payudara sering kali tidak mempunyai sebarang tanda.

Secara ringkasnya, kanser payudara terbahagi kepada dua berdasarkan asal usul sel kanser iaitu:

1. Kanser yang berasal dari duktus dinamakan kanser duktus (duktal cancer).

2. Kanser yang berasal dari lobul yang dinamakan kanser lobul (lobular cancer).

GEJALA DAN TANDA–TANDA KANSER PAYUDARA

Masalah utama untuk mengenal pasti kanser payudara adalah untuk mengesannya pada peringkat awal. Kanser payudara pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang tanda dan wanita yang menghidapnya tidak mempunyai sebarang gejala.

Berikut adalah tanda-tanda dan gejala-gejala yang mungkin menjadi petanda kepada penyakit kanser payudara:

● Ketulan pada payudara dan perubahan pada permukaan payudara yang menjadi tidak rata.

● Perubahan pada kulit payudara, kulit kelihatan berbintik merah-kemerahan dan keras.

● Keluar darah ataupun lendir berdarah dari puting susu.

● Puting susu tenggelam ke dalam payudara.

● Terdapat salur darah yang menonjol di permukaan kulit payudara.

● Luka yang tidak sembuh pada permukaan payudara.

● Terasa ada biji atau ketulan di bahagian ketiak.

● Hilang selera makan dan turun berat badan.

RISIKO PENGHIDAP KANSER PAYUDARA

● Faktor Genetik

Risiko mendapatkan kanser payudara adalah lebih tinggi jika seseorang itu mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidapi kanser payudara.

● Faktor Hormon

Wanita yang datang haid pada usia yang muda (kurang daripada 12 tahun) dan putus haid pada usia yang lanjut (lebih daripada 55 tahun) adalah golongan berisiko untuk menghidap kanser payudara. Wanita yang hamil kali pertama pada usia yang lanjut (lebih daripada 35 tahun) juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi kanser payudara.

● Faktor Pemakanan

Kanser payudara juga dikaitkan dengan pengambilan lemak haiwan yang tinggi dalam makanan. Selain itu, kanser ini turut dikaitkan dengan tabiat merokok dan meminum alkohol.