LAWAN mereka nombor 1 dunia, namun beregu negara tidak sedikit pun gentar demi Malaysia.

Malah Aaron Chia-Sow Wooi Yik menguasai sepenuhnya aksi suku akhir Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi ke atas lawan yang merupakan beregu pilihan.

Aksi padu beregu Malaysia itu membuatkan lawan mereka, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon kalah straight set.

Mendahului lawan sepanjang permainan, Aaron dan Wooi Yik mengkagumkan rakyat Malaysia dan peminat badminton global.

Biar pun tidak pernah menewaskan pasangan utama Indonesia itu, namun Aaron dan Wooi Yik tidak sesekali berasa kerdil dengan rekod lampau bahkan mereka cukup dominan.

Pada aksi yang berlangsung di Mushashino Forest Sport Plaza itu, Aaron-Wooi Yik berjaya memastikan kemenangan 21-14, 21-17 sekali gus melangkah ke separuh akhir.

Strategi menyerang dari awal umpama satu formula rahsia yang berjaya membuatkan lawan terkejut dan tertekan dengan reputasi sendiri.

Malah pada saat genting di set kedua, pasangan no 1 dunia itu cukup emosi dan menghempaskan raket membantah keputusan juri servis.

Kilauan pingat Tokyo 2020 sudah hampir kelihatan dan kini menanti warnanya andai Aaron dan Wooi Yik berjaya melangkah ke akhir.

Halangan menanti sama ada pasangan China atau Denmark yang sedang bertarung.

Melihatkan prestasi hari ini, tidak mustahil harapan menggunung rakyat Malaysia mungkin dapat ditunaikan pasangan ini.

Sebagai rekod, ia adalah kemenangan pertama dilakar Aaron-Wooi Yik ke atas Kevin-Marcus selepas tewas semua tujuh pertemuan sebelum ini.