GAMBAR: Abd Razak Aid (GAMBAR HIASAN)

LIMA kilang merupakan antara 63 premis yang telah diarahkan tutup serta-merta semalam disebabkan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, 58 daripada 63 premis lagi meliputi 55 premis perniagaan dan tiga tapak pembinaan yang masih lagi gagal mengikut arahan.

Kata beliau, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan dengan kekuatan 20,205 anggota telah melaksanakan 82,992 pemeriksaan semalam.

Menurut Hishammuddin, pasukan itu juga telah melakukan snap check COVID-19 bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

“Kesemua pemeriksaan itu melibatkan 1,874 kilang; 15,116 premis perniagaan; 883 tapak pembinaan dan 226 lagi asrama penempatan pekerja.

“Bagi individu pula, seramai 316 telah ditahan menerusi semua pemeriksaan yang dilaksanakan semalam.

Baca artikel berkaitan: 60 premis diarah tutup, 465 ditahan langgar SOP

“Jumlah itu merangkumi 296 individu yang telah dikenakan kompaun manakala 20 lagi telah direman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Operasi Benteng yang dilaksanakan semalam juga telah menyaksikan seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas satu buah kenderaan darat.

Kata beliau, Operasi Benteng melibatkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain.

“Semalam, sebanyak 890 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia melibatkan 836 Operasi Penawar atau SJR PKP; 45 Operasi Benteng melibatkan PDRM, ATM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) manakala sembilan Operasi Benteng AKSEM,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram