Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

SIDANG Khas Dewan Rakyat ditangguhkan sekali lagi ke pukul 5.15 petang susulan dua kes positif COVID-19 yang dikenal pasti berlaku di Parlimen.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, maklumat itu disampaikan kepada Parlimen menerusi surat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, Mohd. Rashid berkata, semua yang hadir ke Dewan Rakyat termasuk ahli Parlimen, pegawai dan pekerja-pekerja diwajibkan melakukan saringan gejala dan ujian saringan pengesanan COVID-19.

Kata beliau, kes pertama telah dikenal pasti melibatkan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen sejak Isnin lalu dengan nilai kitaran ambang 18.7.

Menurutnya, kes kedua pula dikesan hari ini semasa saringan di Parlimen menggunakan ujian kendiri air liur RTK-AG.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal mendapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh tersebut.

“Sehubungan itu, dipohon saringan gejala dan ujian saringan pengesanan COVID-19 dijalankan ke atas semua yang hadir termasuk semua ahli Parlimen, pegawai, warga Parlimen dan pekerja.

“Tiada siapa dibenarkan keluar daripada kompleks Parlimen sehingga keputusan diperolehi, keutamaan diberikan kepada ahli Parlimen. Mesyuarat ditempohkan sehingga pukul 5.15 petang,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.

Baca artikel berkaitan: Derhaka titah Agong, PM harus letak jawatan – Asyraf Wajdi

Terdahulu, Sidang Khas Dewan Rakyat sesi petang ditangguhkan dua kali susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara tengah hari tadi.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said pada pukul 2.30 petang tadi berkata, sidang hanya akan disambung pada pukul 3.30 petang.

Ia susulan perbincangan yang masih belum tamat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen Isnin lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Dalam satu kenyataan Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenakan dan dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Badinda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram