Struktur pembinaan Projek Aliran Transit Ringan (LRT) 3 runtuh berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengarahkan siasatan menyeluruh dilaksanakan susulan kejadian runtuhan besi perancah projek transit aliran ringan (LRT) Shah Alam di Bandar Bukit Tinggi, hari ini.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan telah mengarahkan kontraktor projek itu, MRCB George Kent Sdn. Bhd. untuk menyediakan laporan terperinci dan langkah mitigasi bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang.

Syarikat itu turut menegaskan aspek keselamatan adalah isu penting yang memerlukan perhatian dan komitmen semua pihak dengan Prasarana akan terus mematuhi peraturan keselamatan pada setiap masa.

“Prasarana akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk melancarkan siasatan dalaman mengenai perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat seorang perkerja pembinaan yang tersepit dibawah runtuhan besi selepas struktur pembinaan Projek Aliran Transit Ringan (LRT) 3 runtuh berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Kami juga meluahkan kekesalan dan mengucapkan takziah kepada keluarga individu yang kehilangan nyawa ekoran kejadian tersebut.

“Kami juga mendoakan mereka yang cedera segera sembuh dan akan memastikan kebajikan mereka serta keluarga diberi keutamaan ketika ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Struktur pembinaan LRT runtuh, seorang disahkan maut

Petang tadi, seorang pekerja pembinaan warga Bangladesh dilaporkan maut selepas perancah besi di tapak pembinaan itu runtuh secara tiba-tiba.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga lagi rakan senegaranya dan seorang rakyat Indonesia yang kesemuanya berusia 30-an mengalami cedera ringan.

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat seorang pekerja pembinaan yang tersepit dibawah runtuhan besi selepas struktur pembinaan Projek Aliran Transit Ringan (LRT) 3 runtuh berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pihak bomba telah menerima panggilan pada pukul 2.41 petang dan tiba di lokasi sekitar pukul 2.58 petang.

Sementara itu, Pembinaan Jaya Zira Sdn. Bhd. dalam kenyataan berasingan memaklumkan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat punca insiden berkenaan.

Syarikat itu yang merupakan kontraktor pakej kerja GS09 projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) memberitahu arahan henti kerja (SWO) telah dikeluarkan bagi menghentikan serta-merta semua aktiviti pembinaan.

“Kami ingin mengucapkan takziah dan permohonan maaf kepada mangsa serta keluarga mereka dan turut meminta maaf kepada orang ramai atas sebarang kesulitan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram