Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC, GAMBAR: Media UMNO

KEPIMPINAN UMNO mula mengatur langkah untuk merealisasikan keputusan Majlis Tertinggi parti pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ia berikutan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang mahu kesemua ahli Parlimen UMNO menzahirkan dan melaksanakan keputusan MT tersebut.

‘’Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memelihara melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,’’ katanya.

Kenyataan Ahmad Zahid dikeluarkan beberapa jam selepas Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong amat dukacita apabila kerajaan mengumumkan membatalkan Ordinan Darurat yang belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pendirian parti itu juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

Ini merupakan kali kedua, Ahmad Zahid mempertegaskan, pendirian MT UMNO berhubung menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri

Sebelum ini pada 7 Julai, MT UMNO telah membuat keputusan sedemikian tetapi parti itu kekal dalam kerajaan, pendirian yang dianggap ‘separuh masak’ itu dilakukan berikutan kesemua ahli Parlimen UMNO dalam Kabinet dan GLC membuat keputusan untuk terus berkhidmat dalam Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Pada tarikh yang sama juga Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Mengulas lanjut kenyataan Istana Negara, Ahmad Zahid berkata, UMNO amat kesal tindakan kerajaan yang didakwa parti itu mengingkari titah Seri Paduka yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

‘’Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka,’’ tegasnya.

Sehubungan itu beliau menyifatkan tindakan tersebut satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

‘’UMNO akan meminta Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat,’’ katanya.