GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 23 lagi lokaliti akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Hampir semua lokaliti tersebut terletak di Sabah dengan hanya satu di Pahang.

Perkara berkenaan diumumkan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishammuddin, pelaksanaan PKPD di kesemua 23 lokaliti itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu sehingga 14 Ogos depan.

Kata beliau, sebanyak enam lokaliti yang bakal melalui PKPD adalah dalam daerah Tawau iaitu membabitkan Bandar Sabindo; Kampung Rancangan Sungai Tongkang dan Taman Kukusan.

Selain itu, PKPD juga dilaksanakan di Batu 2, Lorong Habib Abdul Rahman Jalan Apas; projek perumahan rakyat (PPR) Sri Semarak dan Taman Berjaya.

Beliau berkata, lima lagi lokaliti terletak di Keningau membabitkan Kampung Bariawa Laut; Kampung Baitah; Kampung Panagatan Ulu; Kampung Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau.

Baca artikel berkaitan: 17 lokaliti di enam negeri kena PKPD mulai Sabtu

“Di samping itu, PKPD juga akan dikenakan di tiga lokaliti di Sandakan melibatkan Kampung Lupak Meluas Darat; Kampung Sundang Laut dan Flat Taman Sejati.

“PKPD di Kota Kinabalu pula dilaksanakan di Taman Sempelang, Sembulan dan Kampung Sembulan Tengah & Lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin memaklumkan, tiga lagi lokaliti yang dikenakan di Sabah terletak dalam daerah Kota Belud, Putatan dan Penampang.

Jelas beliau, PKPD di Kota Belud terletak di Kampung Tempasuk 1 selama dua minggu.

“Kampung Tengah Padang merupakan kawasan yang akan dikenakan PKPD di Putatan manakala Kampung Babagon pula lokaliti dalam daerah Penampang.

“Sementara itu, satu lokaliti yang bakal dilaksanakan PKPD di Pahang melibatkan Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, Temerloh,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram