Pesawat Saudia Airline yang membawa peralatan perubatan sumbangan kerajaan Arab Saudi selamat tiba di tanah air.

Sebanyak 4.5 juta unit peralatan perubatan yang dijanjikan kerajaan Arab Saudi telah selamat tiba dan diserahkan kepada Malaysia.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sumbangan secara percuma dengan nilai keseluruhan dianggar berjumlah AS$5 juta (RM21.14 juta) itu termasuk sebanyak satu juta dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca.

Pada masa sama, Hishammuddin turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas tindakan pantas bagi memastikan sumbangan dapat diserahkan.

Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia, Hishammuddin turut mengucapkan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud; Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman; Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud dan seluruh kepemimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi.

“Sumbangan ini tiba hanya selang beberapa hari selepas Raja Salman sendiri menitahkan supaya King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action (KSRelief) segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan demi membantu negara kita menangani cabaran pandemik ketika ini.

Baca artikel berkaitan: Arab Saudi hulur bantuan COVID-19, Malaysia anggap penghormatan besar

“Keprihatinan berterusan Raja Salman terhadap Malaysia serta kesungguhan kerajaan Arab Saudi dalam menjunjung titah baginda baru-baru ini benar-benar membuktikan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama-sama Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua 4.5 juta peralatan perubatan untuk menguruskan COVID-19 itu termasuk pakaian peralatan perlindungan diri (PPE); pelitup muka dan ventilator.

Sumbangan yang dihulurkan itu bukan pertama kali kerajaan Arab Saudi menyumbang bantuan COVID-19 kepada Malaysia.

Arab Saudi merupakan antara negara terawal yang tampil menyalurkan sumbangan iaitu kira-kira lapan juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia, Mei tahun lalu.

Sumbangan terbaharu ini juga sekali gus menjadikan Arab Saudi merupakan penyumbang terbesar bantuan COVID-19 kepada Malaysia setakat ini.

“Malaysia sentiasa mendoakan semoga hubungan baik yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara ini terus utuh dan berkekalan seterusnya membawa pelbagai lagi manfaat bersama pada masa yang akan datang. Insya-Allah,” kata Hishammuddin.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram