Orang ramai berkerumun di hadapan sebuah bangunan sepuluh tingkat di sebuah negeri di selatan tanah air. Jalan utama di sekitar bandar itu menjadi sesak apabila kereta mula bergerak perlahan.

Perhatian mereka tertumpu kepada seorang lelaki di atas bumbung bangunan tersebut. Lelaki sederhana tinggi, berkemeja-T dan seluar jean itu kelihatan duduk di tebing bumbung bangunan tersebut sambil menjuntai-juntaikan kakinya. 

Tanpa mempedulikan orang ramai, lelaki itu terus menghisap rokok dan membuai-buai kakinya tanpa rasa cemas. Kalau silap sedikit, pasti dia akan jatuh terhempas ke tanah, nyawaya akan melayang..

Gelagat lelaki itu membuatkan orang ramai cemas. Bilangan yang berkerumum semakin bertambah, namun lelaki itu langsung tidak peduli. Fikirannya kacau. Jiwanya tertekan.

Siren polis kedengaran. Tiga buah kereta peronda tiba.

Tapi lelaki itu masih tidak berganjak. Dia menghembuskan asap rokok dan menggosok-gosokkan kepala. Bayangan wajah ibu, bapa, adik-beradik, rakan dan para pelanggannya, terbayang di hadapan mata.

Lebih menghancurkan hati lelaki tersebut bila isterinya pula minta cerai. Dia sayangkan anaknya. Mungkin isteri boleh dicari, tetapi bila dia terbayang wajah anaknya, dia berasa begitu kecewa kerana menghancurkan masa depan anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa. Kini dia kehilangan semua orang yang dikasihinya.

Aduh! Dia tidak dapat menerima hakikat ini. Segala-galanya musnah dalam sekelip mata. Dia bukan sahaja putus asa, malah mahu terjun dari bangunan itu. Biar cepat putus nyawanya. Biarkan kepalanya berkecai, asalkan azab yang ditanggung ini cepat berakhir.

Fikirannya terus melayang. Air mata sudah tidak dapat ditahan lagi. Dia sudah nekad. Memang, dia tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan hakikat ini.

Hatinya terus mendesak agar terjun dari bangunan itu. Lagi cepat dia mati, lagi bagus. Sedang dia berkira-kira untuk terjun dari bangunan itu tiba-tiba…

“Ooii!! Ya-Allah… Aziz oiiii!! Apa nak jadi dengan kau ni!? Tak habis-habis menyusahkan orang! Woi! Kau sedar tak apa kau buat ni!?” tiba-tiba satu suara umpama petir singgah di telinganya. Terputus segala lamunan lelaki itu. Suara itu seperti pernah didengarinya sebelum ini, tetapi takkanlah…

Lelaki itu berpaling.

Gambar hiasan : Fikirannya bercelaru, rasa bersalah sentiasa menghantui hidup Aziz, hingga dia lebih rela untuk membunuh diri…

“Bapak!” terpacul sepatah kata dari mulutnya.

Ya, bapa lelaki itu rupa-rupanya sudah berada di belakangnya bersama dua orang anggota polis. Dia sendiri tidak sedar bila masa bapa dan anggota polis itu naik dan menghampirinya.

Bila dia menoleh ke depan dan ke bawah bangunan semula, tiba-tiba perasaan takut mula menguasai diri. Sebenarnya lelaki itu sendiri tidak sedar bila masa dia duduk berlunjur kaki di tebing bumbung bangunan sepuluh tingkat itu. Seingatnya, tadi dia cuma duduk-duduk di perhentian bas, tapi sekarang…??

Semangat lelaki itu untuk membunuh diri hilang langsung apabila disergah bapanya tadi. Lelaki tersebut kemudiannya dibawa turun dan peristiwa cemas petang itu berakhir tanpa sebarang tragedi.

SIAPA LELAKI ITU? Sebenarnya, dahulu, dia adalah pemilik sembilan buah syarikat. Asetnya jutaan ringgit. Tetapi, apa yang membuatkan dia papa kedana sampai nekad mahu membunuh diri?

Nama lelaki itu Aziz Abdul Halim. Dia berasal dari sebuah negeri di selatan tanah air. Aziz merupakan salah seorang pelopor skim cepat kaya secara online di negara tercinta ini.

Peristiwa di atas berlaku disebabkan penglibatan Aziz dalam perniagaan ini. Aziz seorang taikun dalam perniagaan online dan mempunyai pelanggan di seluruh negara. Tetapi, bagaimana pula Aziz boleh jadi bankrap dan papa kedana?

“Pelaburan dari Euro la… dari AS la… semuanya penipu,” tegas Aziz semasa menghubungi Mastika. Tambah Aziz, dia mahu ceritakan segala-galanya agar masyarakat jangan tertipu lagi dengan penyamun Internet ini.

Pada hari yang ditetapkan, kami pun bergegas menemui Aziz di rumahnya seperti yang dijanjikan. Tanpa berlengah, Mastika meminta Aziz ceritakan pengalamannya dalam dunia skim cepat kaya online.

Begini cerita Aziz:

“Saya mula terlibat dalam skim ini sejak tahun 1996 lagi. Masa tu, umur baru 24 tahun. Ada seorang lelaki yang kenalkan saya dengan skim ni. Namanya Douglas, dia kawan saya sejak sekolah lagi.

“Kata Douglas, kalau nak kaya, ikut macam dia. Syarikat skim cepat kaya tempat Douglas bekerja berpusat di Singapura. Tetapi cawangannya ada di Pulau Pinang. Ketika itu saya tak tahu lagi apa sebenarnya skim cepat kaya online ni,” cerita Aziz.

Tapi disebabkan nafsu hendak kaya dan mewah secara cepat, Aziz bersetuju mengikut Douglas bersama seorang kawannya. Tambahan pula ketika itu dia sedang menganggur, jadi pelawaan Douglas itu bagai orang mengantuk disorongkan bantal.

“Sampai di Pulau Pinang, kami terus ke sebuah hotel five star. Yang hadir pula kami lihat bukan calang-calang orang. Semuanya pakai sut kemas dan bertali leher. Kami masuk ke dalam sebuah dewan. Ada 19 orang lagi sedang menunggu. Mereka pun orang baru seperti kami.

“Kemudian, muncul seorang lelaki, memperkenalkan dirinya sebagai Steven. Umurnya 50-an. Steven terangkan bahawa perniagaan ini berpusat di Singapura dan didaftarkan di Bahamas, Virginia Island, Amerika Syarikat. Perniagaan ini mempunyai rangkaian di seluruh Asia.

“Steven adalah wakil syarikat tersebut di Malaysia. Penampilannya hebat, dia ada karisma sebagai ketua dan usahawan. Kata Steven, kami adalah rekrut pertama bagi perniagaan ini.”

Selepas itu, selama hampir tiga bulan, Aziz dan 19 lagi ‘rekrut’ berkenaan berulang-alik ke Penang. Duit… Steven memberikan mereka RM1,000 seorang untuk perbelanjaan dan membeli pakaian.

Strategi nombor 1, guna duit untuk ambil duit orang.

Setelah lebih tiga bulan, akhirnya yang tinggal hanyalah lima daripada 20 orang rekrut tadi. Lima belas orang itu dibuang atau enggan meneruskan penglibatan mereka. Aziz diletakkan di bawah Steven. Lelaki itu mengajarnya pelbagai perkara, tapi yang paling utama ialah bagaimana hendak ‘mengambil’ duit daripada orang lain, tanpa mereka sedari. Ertinya, kita ‘ambil’ duit mereka dan mereka beri duit itu dengan kerelaan

“Salah satu caranya, gunakan duit untuk mengaburi mata mereka. Jadi, penampilan mesti sentiasa kemas. Bila cerita tentang perniagaan ini, bawa sekali statement akaun kita. Tunjukkan pada bakal pelanggan statement itu, beritahu mereka pelaburan yang bakal mereka masuk ini memang betul-betul mendatangkan hasil. Buktinya? Kitalah sendiri yang menjadi buktinya. Selepas tu, senanglah kita masuk jarum.

“Untuk yakinkan saya lagi tentang perniagaan ini, Steven bawa saya ke pejabat perniagaan itu di Singapura. Saya terperanjat, suasana tempat itu lebih kurang macam bursa saham. Lebih memeranjatkan, jika di bursa saham penjualan dan pembeliannya gunakan resit, tetapi di sini gunakan cash money! Mereka gunakan sistem piramid.”

Selepas pulang dari Singapura, Aziz menjadi lebih yakin. Steven kemudian menyuruh Aziz pulang ke kampung dan membuat survey selama beberapa bulan, sama ada di situ berpotensi atau tidak untuk untuk menarik pelabur.

Aziz diarah mengkaji macam-macam perkara untuk memudahkan kerja mereka. Hinggakan berapa simpanan seseorang itu pun kalau boleh dia perlu selidiki. 

Kajian terhadap penduduk di kampung Aziz sendiri berjalan hampir enam bulan. Dalam tempoh itu, syarikat di Singapura membiayai perbelanjaan hariannya sebanyak RM5,000 sebulan dan sebuah kereta.

“Bayangkan, setiap bulan saya dapat RM5,000! Kerja saya pula mudah, cuma perlu selidik dan kenal pasti orang boleh jadi sasaran. Tak payah ramai, beberapa orang saja pun cukup.

Selepas enam bulan menyelidik penduduk kampungnya dan dua minggu masuk jarum, Aziz dapat mangsa pertama, seorang pak haji – RM38,000!

“Selepas enam bulan, saya mula bergerak. Sasaran pertama saya ialah seorang pak aji kaya di kampung kami. Boleh kata dalam seminggu, empat kali saya akan bertemu pak aji itu. Setelah hampir dua minggu berusaha, akhirnya pak aji itu tumbang. Nak tahu berapa banyak duit pak aji berjaya saya tarik? RM38,000!

“Komisen saya lebih daripada RM10,000. Bermula dengan pak aji itu, empayar saya  mula berkembang. Seorang demi seorang penduduk kampung kami berjaya saya tewaskan. Akhirnya, mak cik jual kuih, yang kerja bendang, kerja kerani, cikgu… semua masuk.

“Ada juga yang gunakan duit syarikat hampir RM100,000 untuk labur dalam perniagaan kami. Yang berpangkat Datuk pun sama. Hidup saya mewah. Saya masih ingat kata Steven: ‘Orang Melayu banyak duit, terutama yang tinggal di kampung-kampung. Tetapi, mereka tak tau ke mana nak dilaburkan.’

“Bila saya datang dengan skim yang mudah, ada kertas hitam putih, ramai yang mula berminat. Maklumlah, ketika itu skim cepat kaya melalui Internet memang terlalu baru. Tak ramai yang tau.”

Dalam masa yang singkat, iaitu dari tahun 1997 sehingga tahun 2000, Aziz berjaya menjadi pengarah kepada sembilan buah syarikat yang semuanya menjalankan ‘penipuan’ ini. Aziz mempunyai 20 orang pekerja dan 250 orang ejen di seluruh Malaysia. Pelanggannya beribu-ribu orang. Ketika itu, dia sudah pun berkahwin.

Setiap bulan, hasil pendapatan Aziz tidak kurang daripada sejuta ringgit! Dia memiliki sebuah kereta BMW, dua buah Mercedes dan sebuah Honda.

Steven cukup sayang pada Aziz. Mana tidaknya, Aziz memberinya keuntungan berjuta-juta ringgit! Kata Steven, Aziz adalah antara anak Melayu yang paling cemerlang pernah dididiknya.

“Setiap kali saya adakan meeting dengan pekerja, saya akan chartered sebuah nite club. Kadang-kadang sebulan sekali, kadang-kadang dua kali sebulan. Pernah saya ‘berumah tangga’ di hotel five star di Pulau Pinang hampir enam bulan lamanya.

Waktu itu duit Aziz macam air, mengalir deras, tapi tak pernah surut. Dia boleh chartered nite club.

“Duit macam air. Mengalir deras, tapi tak pernah surut. Kalau setakat duit RM10, senang-senang boleh jumpa bawah seat kereta saya. Kalau di rumah, saya letakkan not-not RM100 dan RM50 penuh dalam besen plastik yang biasa digunakan untuk letakkan pakaian selepas atau sebelum dicuci.

“Kalau saya nak keluar minum, atau pergi kerja, saya akan cekau duit kertas dalam besen itu. Masa tu, sembahyang dah macam gigi rongak. Jarang-jarang. Biar pun saya kaya, tetapi saya taklah sampai jadi angkuh. Saya bantu keluarga saya.”

Ibu, bapa, sampailah adik-beradik yang lain, semuanya Aziz bantu. Dia belikan bapanya kereta baru dan abang, rumah teres dua tingkat. Setiap bulan Aziz berikan ibunya RM2,000.  Memang, ibu Aziz banyak membebel. Dia tidak suka dengan apa yang Aziz lakukan.

“Ibu saya ustazah. Kata ibu, apa yang saya buat ini salah. Ambil duit orang lain dan laburkannya tanpa mengetahui pelaburan itu sah dari segi syarak atau tidak. Tapi, ahh… saya buat tak faham saja dengan leteran ibu.”

Duit Skim Cepat Kaya itu Aziz gunakan untuk menanggung hidup seluruh ahli keluarganya.

Tahun 2001 jadi tahun paling malang dalam hidup Aziz. Sebaik saja runtuhnya Pusat Dagangan Dunia di New York, bisnes Aziz pun menjunam. Aziz menerima panggilan daripada syarikat di Singapura, kata mereka, saham merudum. Syarikat sudah tidak mampu tanggung kos. Duit di dalam akaun pula telah dibekukan.

“Saya jadi gelabah. Aduh! Apa nak jawab dengan pelanggan? Bukan seorang dua, tetapi beribu orang! Kepala saya mula jadi buntu! Kalau dia orang minta balik duit masing-masing, macam mana saya nak bayar?

“Seminggu selepas itu, tiba-tiba laman web syarikat kami di Singapura tak dapat dibuka. Sehari, dua hari, laman web itu masih belum boleh dibuka. Hari ketiga, saya cuba masuk laman web itu sekali lagi, tapi jantung saya seolah-olah terhenti bila membaca pengumuman yang tertera, mengatakan bahawa laman web itu sudah ditutup!”

“Tidak sampai setengah jam, panggilan mula datang bertalu-talu baik di talian pejabat, mahupun handphone. Saya mula panik. Dua hari kemudian, pejabat saya dipenuhi pelanggan. Melayu, India, Cina semua ada. Masing-masing datang bertanya soalan yang sama, “Macam mana dengan duit kami?”

Puas Aziz menangkisnya, ada yang percaya dan ada yang tidak. Aziz katakan pada mereka, duit yang dilaburkan itu bukan dalam simpanannya, tapi di syarikat induk di Singapura. Namun, Aziz berjanji akan membayarnya balik dengan duit sendiri.

Seminggu selepas itu, Aziz pulang ke rumahnya di kampung. Kepala Aziz pusing. Jiwanya kacau. Macam mana dia hendak bayar balik duit-duit pelabur yang jumlahnya berjuta-juta ringgit? Aziz dapat rasakan, zaman kegemilangannya selama tiga tahun kini sudah berakhir.

“Selepas Maghrib, lima orang anggota polis daripada cawangan jenayah perdagangan terpacak di depan pintu rumah kami. Malam itu saya dibawa ke balai untuk disoal siasat atas tuduhan menjalankan kegiatan haram skim cepat kaya melalui Internet.

“Saya ditahan reman selama 14 hari. Ketika saya dibebaskan sementara menunggu untuk dihadapkan di mahkamah, isteri saya pula datang minta cerai. Alasannya, dia malu bersuamikan seorang lelaki yang menjalankan kegiatan haram. Satu kampung tahu tentang hal itu. Sedihnya tidak dapat saya ceritakan. Akhirnya saya pun ceraikan dia dengan talak satu.”

Apabila dihadapkan ke mahkamah, hakim menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atasnya. Aziz terima keputusan ini. Biarpun tidak lama, hukuman itu sebenarnya sudah cukup perit bagi dirinya.

Setahun selepas itu, Aziz dibebaskan. Aziz sangkakan penderitaan ini sudah berakhir, rupa-rupanya tidak. Malang datang bertimpa-timpa.

“Ibu saya pulangkan semua duit yang saya pernah beri padanya. Rupa-rupanya selama ini duit itu ibu tidak gunakan sebab ibu tahu apa yang saya buat itu hukumnya haram. Bapak saya punya marah, tak payah ceritalah. Begitu juga adik-beradik yang lain.

Rupa-rupanya ibu Aziz tidak pernah menggunakan wang Skim Cepat Kaya yang diberikannya dulu.

“Apatah lagi selepas saya dibebaskan, masih ada lagi pelanggan-pelanggan yang datang ke rumah tak kira waktu minta saya pulangkan balik duit mereka. Sampaikan ada yang bawa parang dan samseng untuk ugut saya.”

Setelah tiga bulan dibebaskan, sikap dingin ibu dan ayah, serta komplot adik-beradik menyisihkannya membuatkan semangat Aziz untuk terus hidup mula hilang. Fikiran Aziz jadi tidak tentu arah. Segala-galanya musnah. Isteri, anak, harta benda dan kasih sayang keluarga, direnggut sekali gus.

Tekanan demi tekanan itu membuatkan Aziz rasa tidak ada guna lagi untuk terus hidup. Lebih baik dia mati daripada menanggung beban jiwa dan hutang yang pastinya tidak akan terbayar. Perkara inilah yang mempengaruhi fikiran Aziz dan akhirnya menjadikan dia mahu membunuh diri dengan terjun dari bumbung bangunan. Mujurlah umurnya masih panjang.

“Saya nak Mastika beritahu masyarakat tentang bahana skim penipu ini. Saya tak boleh baca berita tentang pelaburan itu, perasaan jadi tertekan. Segala kesilapan saya yang lalu datang semula. Saya terbayang semula muka-muka mak cik, pak cik dan pak aji yang pernah jadi pelanggan saya. 

“Saya terbayang muka samseng yang ugut saya, muka ibu, ayah, adik-beradik, bekas isteri dan anak yang sangat-sangat saya sayang. Saya tipu orang, saya musnahkan hidup orang lain, akhirnya hidup saya juga musnah kerana skim penipu dan penyamun itu.”

“Skim penipu dan penyamun?” tanya Mastika

“Memang, itu skim penipu. Yang buat itu semuanya penyamun. Saya nasihatkan, kepada semua yang terlibat dalam skim ini, hentikanlah. Skim ini cuma menipu dengan kecanggihan teknologi yang ada. Mangsanya, orang Melayu, yang duit tak banyak, tapi hendak kaya cepat dengan cara mudah.

Pada waktu ekonomi yang sedang gawat ini penyamun-penyamun Skim Cepat Kaya dan skim-skim penipuan lain sentiasa mencari peluang untuk memperdayakan mangsa.

“Duit yang pelanggan laburkan itu pun bukanlah dilaburkan ke mana-mana, sebaliknya mereka gunakan wang daripada pelaburan orang lain untuk bayar kepada pelabur lain. Pusing-pusing di situ juga.”

Aziz memberitahu, skim ini pun tidak bertahan lama. Paling kurang enam tahun. Paling banyak, tiga tahun sahaja. Selepas itu, pasti ia akan ditutup. Samalah dengan syarikat yang disertainya di Singapura dulu. Mereka cuma menggunakan peristiwa 11 September sebagai alasan untuk menutup laman web mereka.

“Semua skim cepat kaya online menggunakan sistem yang sama. Siapa yang masuk di saat-saat mereka merancang untuk tutup perniagaan itu, akan menanggung kerugian. Undang-undang pun tak boleh bantu.”

“Habis bagaimana dengan segala aset dan harta-harta Aziz,” soal Mastika.

Jawab Aziz: “Semua harta dan cash money saya lebih kurang RM33 juta dah dibekukan oleh Bank Negara. Saya juga selepas keluar dari penjara, sering didatangi pegawai-pegawai Bank Negara daripada Special Unit Investigation untuk membongkar, bagaimana saya menjalankan operasi dan sistem apa yang kami gunakan dulu.

“Sekarang saya dah berhijrah ke KL. Saya nak lupakan segala pengalaman pahit dulu. Saya pun sudah berkahwin lain. Saya tak terlibat lagi dengan aktiviti macam ini, tapi saya akan menanggung beban yang akan dibawa sampai ke mati…”

Apa yang Aziz maksudkan dengan beban yang akan dibawa sampai ke mati?

“Kemaafan dari beribu-ribu pelanggan yang saya tipu dulu. Saya tau, mereka tak akan ampunkan saya,” kata Aziz, sebak.

Anda jangan terkejut, kini Aziz hanya berniaga burger untuk menyara hidupnya sekeluarga. Biarpun duit tidak berjuta, tetapi Aziz berasakan hidupnya kini seribu kali lebih baik berbanding dulu.

——————————————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam