Sejauh mana rasa kasih kita kepada Rasulullah s.a.w.? Dan, bagaimana untuk melahirkan rasa kasih, sayang dan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. Adakah cinta kita sama dengan cinta Nabi s.a.w kepada umatnya?
Menurut Pendakwah bebas, Mohammad Zarifi Mohammad Daud, dengan berselawat adalah caranya untuk menunjukkan rasa cinta, kasih sayang dan hormat kepada Rasulullah s.a.w. Sebenarnya yang kita hormati itu adalah seorang insan agung yang bernama Muhammad bin Abdullah.
Dia bukanlah insan sembarangan, sebaliknya adalah rasul dan pesuruh Allah yang tugasnya membimbing umat manusia ke jalan kebenaran dan membawa sinar Islam.
Hendak membuktikan betapa agungnya Nabi s.a.w sehinggakan Allah telah mensyaratkan untuk mendapatkan nilai cinta Allah mestilah didahului dengan cinta kepada nabi serta mengikut segala sunahnya. Hal itu disebut di dalam surah Ali-Imran: 31,
“Katakanlah (wahai Muhammad); Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Maknanya, Allah meletakan syarat untuk mendapatkan cinta dan reda Allah, kena dapatkan cinta nabi dan ikut sunahnya. Ganjarannya amat hebat iaitu Allah akan ampunkan dosa kita dan mengasihani kita. Ini adalah satu hadiah yang tidak ternilai besarnya, itulah istimewanya selawat kepada nabi.
Selawat dipandang remeh

Malangnya, selawat selalu dipandang remeh oleh kebanyakan orang Islam moden. Ia bagaikan sudah semakin luput dari ingatan apabila tidak ada lagi petua orang tua-tua yang diamalkan. Jika dahulu, setiap perbuatan yang baik akan dimulai dengan selawat walaupun dari perkara yang sekecil-kecilnya iaitu sekadar untuk minum seteguk air sejuk.
Tegas Zarifi, selawat bukan sekadar untuk membuktikan kita hormat, cinta, kasih dan sayang kepada Rasulullah. Malah Allah telah menjanjikan, dengan berselawat segala kebaikan akan kembali kepada orang yang berselawat.
Hal ini jelas disebut di dalam firman Allah di dalam surah al-Azhab: 56,
“Sesungguhnya Allah dan malaikat Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w.); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.“
Malah, Nabi s.a.w. sangat seronok kepada umatnya yang suka berselawat kerana segala kebaikan berselawat akan kembali kepada orang yang berselawat. Kegembiraan Rasulullah terhadap amalan berselawat itu ditunjukkan di dalam sebuah hadis. Malah Baginda amat gembira apabila umatnya amat menyukai amalan tersebut.
Di dalam sebuah hadis daripada Abdul al-Rahman bin Auf berkata,
“ Rasulullah s.a.w. keluar, lalu aku mengikuti Baginda sehingga memasuki sebuah kebun kurma. Baginda lalu sujud dan alangkah lama sujud Baginda sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan Baginda atau mencabut rohnya.
Abdul Rahman meneruskan: maka aku datang untuk melihat Baginda, lalu Baginda mengangkat kepalanya dan bertanya, “Kenapa dengan kamu wahai Abdul Rahman ?”
Abdul Rahman bin Auf berkata, maka aku menyebutkan apa yang berlaku kepada Baginda. Maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Jibril berkata kepada ku,“Hendaklah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah berfirman kepada kamu: Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Aku berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu maka Aku memberi salam ke atasnya.” (Di dalam sebuah riwayat yang lain pula ditambah), “Maka aku (Rasulullah ) bersujud kepada Allah kerana bersyukur.”
Dari hadis itu sudah jelas, Rasulullah gembira kerana selawat yang dibaca oleh umatnya memberi manfaat yang bukan sedikit. Banyak kelebihan selawat yang disebut Nabi s.a.w. di dalam sabdanya antaranya,
“Barang sesiapa yang berselawat ke atas ku dengan sekali selawat nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” HR Muslim.
Selawat sebagai syafaat
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Sebaik-baik dan seutama-utama manusia pada hari kiamat adalah mereka yang banyak berselawat kepada ku.” HR An-Nasa’i, Ibnu Hibban dari Ibnu Mas’ud
Bagi Zarifi, selawat akan terus berpanjangan manfaatnya kepada orang beriman yang mengamalkannya. Di akhirat nanti, kita memang mengharapkan syafaat daripada Nabi. Ketika itu tidak ada siapa yang boleh membantu kita dan amalan yang ada pun tidak seberapa maka yang boleh membantu kita adalah Rasulullah.

Bagaimana caranya untuk mendapatkan bantuan dari Rasulullah s.a.w? Semua itu boleh diperoleh dengan berselawat, itulah tawaran luar biasa yang Allah berikan melalui nabi.
Baginda Rasulullah adalah orang yang amat memikirkan tentang umatnya sehinggakan di saat akhir nyawanya Baginda tetap mengingati umatnya. Betapa hebatnya kasih Nabi walaupun kita tidak berpeluang bertemunya semasa hayatnya tetapi kasih Baginda tidak pernah terputus.
“Selawat itu bukan perkataan biasa, jumhur ulama mengatakan selawat itu adalah ibadat dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ia sama seperti berzikir, tasbih dan tahmid. Sama kedudukannya macam zikir, ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap waktu dan ketika.
Selawat Nabi mengandungi syafaat dunia dan akhirat. Ia bukan sekadar doa atau pujian tetapi mengandungi makna yang cukup luas. Kalau boleh diandaikan begini, Rasulullah s.a.w. itu umpama antena yang menghubungkan rohani umatnya dengan Allah yang Maha Pencipta.
Sebab itulah Allah menyebut di dalam firmannya, untuk mendapatkan cinta Allah kena cintai Rasulullah. Kasih sayang Allah akan sentiasa melimpah kepada orang yang suka berselawat kepada kekasih Nya.
Mungkin ada yang akan mempersoalkan semula, jika Allah dan malaikat sudah berselawat apa perlunya kita umatnya berselawat kepada Nabi?

Jawapannya selawat itu bukanlah untuk Nabi tetapi untuk manfaat umatnya yang membaca selawat. Nabi tidak mendapat apa-apa terhadap selawat itu. Tetapi Baginda gembira kerana orang yang berselawat sudah dijanjikan Allah ganjaran yang hebat,” jelasnya.
Sebagaimana disebut di dalam hadis, “Malaikat Jibril datang kepada ku sambil berkata, “sangat menyenangkan untuk engkau ketahui wahai Muhammad, bahawa untuk satu selawat dari seseorang umat mu akan Ku imbangi dengan sepuluh doa baginya. Dan sepuluh salam bagi ku akan Ku balas dengan sepuluh salam baginya.” HR Nasai.
____________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram