KEJAYAAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan kerajaan campuran yang menyatukan parti-parti umat Islam dan bumiputera, di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem menyebabkan ada pihak sentiasa berasa tercabar.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia lebih-lebih lagi apabila kerajaan PN menunjukkan perubahan positif (kebaikan) dalam pentadbiran berbanding kerajaan terdahulu.
“Maka sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara.
“Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman anasir luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Kini, kita menyaksikan kebangkitan semula Islam dan merudumnya kekuatan negara besar penjajah. Namun begitu, mereka tetap menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia,” katanya.
BERITA BERKAITAN Tindakan mengejek Muhyiddin menunjukkan sikap jahil Ahli Parlimen – Hadi Awang
Beliau berkita, kerajaan PN telah berjaya mencetuskan kesedaran, apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu ditubuhkan kerajaan sekular yang didominasi oleh kalangan bukan Islam dan seluruh kumpulannya.
“Sehingga kumpulan Islam yang terpengaruh dengannya tidak lebih daripada sekadar menjadi khadam setelah menjadi pejuang. Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu.
“Walaupun begitu, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan bumiputera (UMNO, PAS dan BERSATU) di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kejayaan menubuhkan kerajaan campuran PN kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat, bahkan ternyata kelemahan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dalam masa yang singkat bersama kemenangan yang rapuh dan penuh dengan penipuan.
Katanya, justeru, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar, kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.
“Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara. Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara.
“Pada masa yang sama, hendaklah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara yang disebutkan di atas, gagal dibawa masuk ke negara kita.
“Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran.
Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya. – UtusanTV

