Cuba bayangkan, seorang kawan sudah berjanji dengan anda hendak berjumpa pada sekian-sekian waktu di tempat yang telah ditentukan. Jadi anda pun menunggulah dengan harapan membunga, dengan hati yang begitu ceria.

Lima minit menanti, sahabat yang ditunggu tidak muncul. Tak mengapalah, mungkin jalan sesak. Anda menunggu lagi, memerhatikan orang yang lalu-lalang, sepasang kekasih berjalan beriringan, si ibu memimpin anaknya penuh mesra, seorang pelajar termenung, mungkin hatinya resah memikirkan pelajaran.

Tapi sahabat yang dinanti, belum juga kunjung jelma. Tak apa, mungkin sekejap lagi dia sampai. Anda melihat jam di tangan, ah… sudah 20 minit berlalu. Anda menanti dan menanti… setengah jam, naik satu jam, dua jam, tiga jam, namun yang dinanti langsung tidak nampak batang hidung!

Apa yang akan anda rasa? Tentu anda akan berkata…

  1. Eee… manalah budak ni?
  2. Kalau ada hal pun calllah.
  3. Tak guna betul, tadi dah janji.
  4. Tau la esok… siap engkau!                                                                                                                                       

Sekarang, cuba bayangkan diri anda sendiri yang telah mengucap aku janji sebagai orang Islam di hadapan Allah S.W.T. bahawa anda akan mematuhi Rukun Islam terutama solat lima waktu. Anda tahu solat itu tiang agama, telah anda ikrarkannya kepada Allah sejak sekian lama.

Kedengaran azan berkemundang, Allah sedang menanti anda menghadap-Nya. Lima minit… 20 minit… 40 minit… satu jam… dua jam… tiga jam, anda langsung tak sembahyang!

Bayangkan, apa yang Allah rasa? Bukankah anda sudah berjanji, kenapa mungkir?

Ingatlah janjimu pada-Nya. Jangan bertangguh…

Salam Jumaat kepada semua pembaca Mastika dan pelayar portal UtusanTV. Semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang mungkir janji itu.

—————————————————————————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam