TAHAP-TAHAP KANSER PAYUDARA

Tahap 1

●  Ini adalah tahap terawal penghidapan penyakit barah payudara.

Pada peringkat ini, ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar dua sentimeter ataupun kurang daripadanya. Dalam tahap ini, sasaran serangannya adalah terhad kepada bahagian payudara sahaja.

Tahap 2

● Pada tahap serta peringkat yang kedua ini, ukuran ketumbuhan barah payudara akan meningkat diantara dua sentimeter hingga lima sentimeter. Selain daripada bahagian payudara, ia turut menjadikan nodus limfa (yang terdapat pada bahagian bawah ketiak) sebagai sasaran serangannya.

Tahap 3

● Saiz ketulan barah payudara berukuran lima sentimeter. Pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

Tahap 4

● Pada peringkat serta tahap ini, serangan barah ini akan menjalar kepada bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara. Antara bahagian yang menjadi sasaran serangan barah payudara pada peringkat ini ialah nodus limfa pada leher, paru-paru, hepar ataupun tetulang penghidapnya.

PEMERIKSAAN SENDIRI PAYUDARA

Pemeriksaan sendiri payudara dapat mengajar kaum wanita untuk merasai bagaimana rasanya payudara yang normal. Bentuk dan kepadatan payudara boleh berubah-ubah pada waktu yang berlainan semasa kitaran haid wanita.

Semasa melakukan pemeriksaan sendiri payudara, wanita digalakkan untuk belajar membiasakan diri dengan sentuhan rasa payudara yang normal.

Terdapat tiga komponen utama payudara iaitu lemak, tisu-tisu kelenjar serta duktus dan tisu-tisu penyokong. Bahagian yang lembut adalah bahagian lemak. Manakala, tisu-tisu kelenjar payu dara memberikan rasa lebih keras seperti bebenang dan kadangkala berketul-ketul.

RAWATAN KANSER PAYUDARA

Setelah pesakit menjalani ujian pengesahan kanser payudara, beberapa siri ujian khas akan dilakukan bagi menentukan sejauh mana kanser tersebut telah merebak ataupun peringkat kanser tersebut.

Seperti juga kanser yang lain, jenis rawatan yang akan diberikan adalah berdasarkan kepada peringkat kanser tersebut. Antara ujian yang boleh membantu pakar kanser dalam menentukan peringkat kanser payudara ialah melalui ujian darah, sinar-X, mamografi, CT Scan atau MRI dan imbasan tulang.

Berikut adalah kaedah rawatan untuk penyakit kanser payudara:

● Pembedahan.

● Rawatan radioterapi.

● Rawatan kemoterapi.

● Rawatan hormon (Tamoxin, Letrozole, Anastronozole).

● Kombinasi rawatan-rawatan di atas.