scam online

HASRAT seorang siswazah untuk mencari pendapatan dengan menyertai satu skim tawaran pekerjaan dalam talian baru-baru ini berakhir dengan kerugian sehingga ratusan ribu ringgit wang milik keluarga.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, siswazah berusia 24 tahun itu pada mulanya telah menyertai ‘skim pekerjaan’ yang ditawarkan oleh sebuah syarikat di Facebook.

Mengikut arahan daripada seseorang yang dikenali sebagai Nelson Pang, mangsa kemudiannya memuatkan turun satu aplikasi dikenali sebagai PbCompany.

“Mangsa kemudian diberikan id dan ‘username’. Dia memberitahu perlu memasukkan wang ke dalam akaun itu dan mencapai ‘target order’ sehingga mencukupi nilai barang-barang daripada laman Shopee, Lazada atau Zalora yang dipesan syarikat,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 2.5 peratus bersama wang dimasukkannya itu jika berjaya mencapai sasaran jualan.

BERITA BERKAITAN Tipu tawar kerja sambilan, 22 suspek ditangkap – Ayob Khan

“Siszawah itu terus membuat bayaran untuk tujuan berkenaan dengan melakukan 15 transaksi bermula 22 hingga 25 Julai lalu ke dalam enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM138, 990 menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah bapa tirinya.

“Selepas pembayaran dilakukan, mangsa tidak mendapat wang komisen seperti dijanjikan dan masih diminta masukkan lagi wang,” katanya mangsa kemudian menyedari ditipu sebelum tampil membuat laporan polis pada 27 Julai lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menegaskan supaya data peribadi atau identiti tidak didedahkan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau baru dikenali di internet serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi.

“Orang ramai perlu membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi serta membuat semakan latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan,” katanya. – UtusanTV

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram