DAYA tarikan seseorang wanita tidak hanya bergantung kepada wajah yang cantik, kulit yang gebu dan tubuh yang langsing. Tapak tangan yang lembut juga membantu melengkapkan lagi pakej kecantikan pada seseorang wanita itu.

Justeru, jangan biarkan permukaan kulit pada tapak tangan anda kering dan kusam tanpa penjagaan. Ingatlah, tapak tangan yang kering pastinya membuatkan anda merasa kurang selesa untuk menghulurkan tangan apabila hendak bersalam dengan seseorang. Lebih-lebih lagi, ia adalah pertemuan pertama dengan seseorang itu.

Kini, anda boleh mengucapkan selamat tinggal kepada tapak tangan yang kering dan kusam. Amalkan tip berikut :

MEMAKAI SARUNG TANGAN

Salah satu cara untuk mencegah kulit pada tapak tangan anda daripada kering ialah dengan memakai sarung tangan ketika membuat kerja harian seperti berkebun atau mencuci. Dengan cara ini, anda melindungi permukaan tapak tangan anda daripada kering dan rosak.

KULIT PISANG & KULIT UBI KENTANG

Pisang bukan sahaja enak dimakan, malah kulitnya juga mempunyai seribu satu macam khasiat. Salah satu daripada khasiat kulit pisang ialah ia boleh melembutkan tapak tangan yang kering. Oleh itu, selepas ini, pastikan anda tidak membuang kulit pisang apabila memakan buah ini. Selain kulit pisang, kulit ubi kentang juga mempunyai khasiat yang sama. Caranya mudah, gosokkan sama ada kulit pisang atau kulit ubi kentang pada tapak tangan. Kemudian cuci tapak tangan anda menggunakan air limau nipis. Lakukannya dengan kerap. Hasilnya, anda akan merasai kulit pada tapak tangan anda menjadi lembut.

KOPI

Ramai yang mengetahui kopi hanya sebagai minuman tetapi tidak mengetahui khasiat kopi bagi menghaluskan tapak tangan. Caranya, ambil hampas serbuk kopi yang telah digunakan dan sapu ke seluruh bahagian telapak tangan. Biarkan selama 10 minit, sebelum anda membasuhnya. Setelah itu, bilas tangan anda sehingga bersih dan anda akan dapati tangan yang kasar menjadi halus kembali.

DAUN BETIK

Daun betik yang tua sebenarnya mempunyai khasiat yang tersendiri. Antara khasiatnya ialah ia mampu melembutkan tapak tangan yang kasar. Caranya, ambil daun betik tua, kemudian ramas sehingga hancur. Biarkan ia kering di tapak tangan. Setelah itu, basuh tangan anda dengan air yang bersih dan lakukan sebanyak dua atau tiga kali seminggu.

KRIM TANGAN

Jika anda ingin cara yang mudah dan segera, anda boleh menggunakan krim tangan untuk menghalang kulit daripada menjadi kering. Caranya, sapukan krim khusus untuk tangan pada setiap waktu. Jika perlu, anda boleh membawa sebotol krim tangan kecil di dalam beg tangan anda, supaya anda dapat selalu memakainya setelah mencuci tangan. Caranya, keringkan tangan secara keseluruhan, kemudian sapukan krim tangan secara rata di seluruh telapak tangan.