Struktur pembinaan Projek Aliran Transit Ringan (LRT) 3 runtuh berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi Klang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Sumber Manusia telah mengarahkan supaya siasatan komprehensif bagi mengenal pasti punca kejadian runtuhan perancah tapak projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT 3) di Jalan Langat, Bandar Bukit Tinggi, Klang, semalam.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan memaklumkan sepasukan pegawai penyiasat daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memulakan siasatan segera berhubung insiden berkenaan.

Katanya, siasatan itu juga akan turut membabitkan penglibatan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina, JKKP.

Menurut kementerian tersebut, penglibatan bahagian itu adalah bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menjadi kewajipan setiap majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja mahu pun orang awam di tempat kerja yang berada di bawah kawalannya.

“Kementerian Sumber Manusia menegaskan sentiasa memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Struktur LRT runtuh: Prasarana mahu siasatan menyeluruh

[VIDEO] Struktur pembinaan LRT runtuh, seorang disahkan maut

Semalam, seorang pekerja pembinaan warga Bangladesh dilaporkan maut selepas perancah besi di tapak pembinaan itu runtuh secara tiba-tiba.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga lagi rakan senegaranya dan seorang rakyat Indonesia yang kesemuanya berusia 30-an mengalami cedera ringan.

Pihak bomba telah menerima panggilan pada pukul 2.41 petang dan tiba di lokasi sekitar pukul 2.58 petang.

Prasarana dalam kenyataan malam tadi telah mengarahkan siasatan menyeluruh dilaksanakan susulan kejadian runtuhan besi perancah tersebut.

Syarikat itu juga telah mengarahkan kontraktor projek itu, MRCB George Kent Sdn. Bhd. untuk menyediakan laporan terperinci dan langkah mitigasi bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang.

Prasarana turut menegaskan aspek keselamatan adalah isu penting yang memerlukan perhatian dan komitmen semua pihak dengan Prasarana akan terus mematuhi peraturan keselamatan pada setiap masa.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram