beza sihir, mukjizat, karamah

Bagi menyelesaikan kecelaruan yang ditimbulkan oleh ‘syaitan-syaitan manusia’ ini, maka perkara-perkara luar biasa yang berlaku kepada manusia perlu diperjelaskan, sama ada ianya suatu mukjizat, karamah ataupun satu bentuk sihir. Perbezaan antara perkara-perkara tersebut boleh dilihat melalui 9 aspek:

  • Kaedah Belajar: Mukjizat dan karamah dikurniakan Allah tanpa perlu dipelajari atau diamalkan. Tiada syarat-syarat tertentu atau tempoh tertentu. Contohnya tongkat nabi Musa a.s. yang dikurniakan secara terus.

Sihir pula perlu dipelajari dari seseorang dan diamalkan untuk suatu tempoh tertentu dengan syarat-syarat tertentu seperti bertapa, amalan mantera dan serapah.

  • Kaedah Mengajar: Mukjizat dan karamah mustahil untuk diajar atau diwariskan oleh orang lain. Sihir boleh diajar dan diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berkehendak.
  • Kekerapan Berlaku: Mukjizat dan karamah berlaku secara spontan. Tidak selalu terjadi dan tanpa dirancang atau diatur. Sebagai contoh, mukjizat Nabi Muhammad SAW membelah bulan hanya berlaku sekali.

Tongkat Nabi Musa a.s. pula bertukar menjadi ular hanya tiga kali. Berlainan dengan sihir. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki dan boleh diprogramkan serta ditentukan. Ianya boleh berulang kali. Contohnya, seorang penyihir boleh menilik lokasi barang hilang setiap kali diminta pelanggan.

  • Matlamat: Mukjizat adalah tanda kenabian, karamah tanda kemuliaan. Sihir adalah perhambaan kepada syaitan.
  • Kebolehtontonan: Mukjizat mesti dipertontonkan sebagai tanda kenabian. Karamah tidak boleh dizahirkan dan mesti disembunyikan. Sihir pula selalu dipertontonkan untuk tujuan keduniaan dan kepentingan diri.
  • Kebolehbatalan: Mukjizat dan karamah tidak dapat ditandingi apalagi dibatalkan. Kesan ilmu sihir boleh dibatal dan dihapuskan oleh orang yang tahu akan kelemahannya.
  • Kesan: Mukjizat dan karamah bersifat hakiki dan benar-benar terjadi. Ilmu sihir lebih bersifat khayalan dan tipu daya.
  • Kesesuaian zaman: Mukjizat dikurniakan mengikut kesesuaian zaman dan tempat, dan ianya berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Contohnya, Al Quran menjadi mukjizat yang sesuai dengan zaman perkembangan ilmu pada hari ini. Manakala sihir pula mempunyai persamaan dari segi alatan, bahan dan kaedah yang digunakan dari dahulu hingga sekarang. Ahli sihir zaman firaun sehingga hari ini masih menggunakan tongkat, tali, kemenyan, tengkorak, darah dan lain-lain bahan yang sama.
  • Ciri-ciri penerima: Mukjizat dan karamah dikurniakan kepada Nabi atau Rasul yang mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji, manusia-manusia yang bertaqwa, hampir dengan Allah, soleh dan baik akhlaknya. Pengamal sihir bukan dari golongan orang soleh dan biasanya mempunyai akhlak yang buruk lagi tercela.

Dalam Al Quran, terdapat beberapa kisah mukjizat para Nabi yang dapat menghidupkan makhluk yang sudah mati. Antaranya ialah kisah Nabi Musa a.s. yang menghidupkan orang mati dengan dipukulkan anggota lembu (surah Al-Baqarah, ayat 67-73) dan kisah Nabi Ibrahim a.s. menghidupkan burung-burung yang sudah lumat dicincang hanya dengan satu seruan (Al Baqarah 260).  

Nabi Isa a.s. juga dikurniakan mukjizat tersebut melalui kata-katanya dalam surah Ali Imran: 49,

Aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.”

Semua keajaiban yang berlaku bertujuan memantap dan meningkatkan iman para Nabi dan umat mereka terhadap kekuasaan Allah.

Justeru, semua nabi menyatakan bahawa kebolehan mereka menghidupkan makhluk yang telah mati adalah berlaku dengan izin Allah SWT, bukan dari kekuasaan mereka. Berlainan dengan perbuatan ahli-ahli sihir.

Mereka menghidupkan orang mati untuk menunjukkan kehebatan diri. Perbuatan mereka juga penuh dengan tipu muslihat syaitan. Biasanya, sihir yang menghidupkan orang mati hanya akan bertahan untuk jangka masa yang singkat.

________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram