“Alhamdulillah, saya sudah lengkap dua dos suntikan vaksin jenis Pfizer”. Demikian kata Raja pop legenda, Datuk Jamal Abdillah ketika meluahkan rasa lega sebaik sahaja selesai mendapatkan suntikan keduanya pada hari ini.

Jamal,63, hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Selangor, kira-kira pukul 2.15 petang.

Malah, kehadirannya di PPV itu turut disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman.

Jika sebelum ini, dalam laporan URTV bertarikh 10 Julai, Jamal menghiburkan petugas barisan hadapan (frontliner) dengan sebuah lagu malar segar, Kau Kekasih Awal dan Akhir, kali ini pelantun lagu Belenggu Rindu itu berbesar hati untuk menyumbangkan dua buah lagu hits nyanyiannya berjudul Gadis Melayu dan Azura.

Datuk Jamal Abdillah bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Sha’ari Ngadiman dan petugas barisan hadapan di PPV MBSA Shah Alam

“Saya luangkan masa kira-kira 40 minit bersama barisan frontliner dan seperti biasa saya suka untuk hiburkan mereka dengan persembahan nyanyian.

“Malah, sekiranya mereka mahu mengundang saya sekali lagi untuk menghiburkan mereka di PPV tersebut, saya secara sukarela dan berbesar hati untuk turut serta,” katanya ketika dihubungi URTV.

Jamal menyampaikan dua buah lagu buat frontliner dan penerima vaksin Covid-19

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai cadangan kerajaan yang dalam rangka perbincangan untuk memberikan suntikan dos ketiga vaksin Covid-19, menurut Jamal dia mahu pihak bertanggungjawab untuk mengkaji sebaiknya demi kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Apa pun keputusan kerajaan, saya secara peribadi berpendapat biarlah ia selepas dibuat kajian terlebih dahulu agar tidak timbul keraguan dan kekeliruan rakyat untuk menerima dos ketiga itu.

“Maksudnya, kita lihat dulu di negara luar, jika mereka akan menerima suntikan dos ketiga vaksin Covid-19, mungkin boleh dipertimbangkan di negara kita.

“Kalau hanya Malaysia sahaja yang terima vaksin dos ketiga, ia akan timbul kemusykilan dan keraguan rakyat. Kalau boleh kita tidak mahu ada tangga yang kurang ‘enak’ terhadap kerajaan.

“Saya tahu Covid-19 ini adalah benar kerana ramai kawan-kawan saya yang dijangkiti wabak ini telah meninggal dunia. Cuma saya harap, apa sahaja yang diputuskan oleh kerajaan mengenai plan untuk memberi dos ketiga kepada penerima vaksin, akan memberi manfaat dan keutamaan kepada rakyat,” ujarnya.