angkara sihir mematikan menghidupkan
Sekadar gambar hiasan

Baru-baru ini, sebuah stesen televisyen menyiarkan drama yang mengisahkan seorang wanita telah disihir oleh bakal mertuanya menyebabkan jantung mangsa berhenti berdenyut.

Pakar perubatan moden turut mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia. Klimaksnya ialah apabila mangsa ‘hidup semula’ selepas seorang ustaz berjaya membebaskan mangsa dari ikatan sihir.

Persoalannya, adakah sihir boleh menjejaskan fungsi anggota dan tubuh manusia? Dan adakah sihir boleh menyebabkan kematian?

Apabila berbicara soal ilmu sihir, kita perlu menerima hakikat yang ianya sudah lama wujud dalam sejarah ketamadunan manusia. Ia merupakan ilmu yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia dengan tujuan untuk memudaratkan dan menyesatkan manusia dari jalan Allah. Fakta ini dinyatakan oleh Allah melalui firman Nya dalam surah al- Baqarah: 102

… puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia akan ilmu sihir… Dan sebenarnya mereka (manusia) mempelajari perkara yang hanya memudaratkan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat”

Para Sarjana Islam dan Sarjana Barat telah bersepakat bahawa sihir boleh menyebabkan kecederaan, kematian, perceraian, keretakan hubungan kekeluargaan, kehilangan harta benda, ketidakwarasan akal dan pelbagai gangguan dalam kehidupan mangsa.

Kemudaratan tersebut terhasil daripada khayalan-khayalan yang ditimbulkan oleh khadam sihir (syaitan dan jin) dalam minda dan deria mangsa. Khayalan tersebut kelihatan seolah-olah benar-benar berlaku, menyebabkan manusia menyangka apa yang dihadapinya itu sebagai realiti.

Kesan sihir ini boleh diumpamakan seperti kesan Imej Janaan Komputer (CGI) atau kesan khas (special effect) dalam sesuatu filem.

Penulis pernah berdepan dengan seorang pesakit yang menjalani x-ray di sebuah pusat perubatan pakar di Kuantan dan didapati terdapat berpuluh-puluh jarum dalam salur darahnya.

Yang menghairankan ialah apabila dibedah, tiada sebatang jarum pun yang dijumpai. Imej jarum yang terhasil tadi boleh jadi adalah khayalan-khayalan yang dijana oleh syaitan dan jin melalui peralatan moden.

Sihir angkara jin dan syaitan lazimnya akan menyebabkan mangsa menderita seumur hidup

Khayalan ini menyebabkan pesakit tersebut merasa seolah-olah jarum tersebut benar-benar wujud. Pada masa yang sama, khadam sihir yang menguasai minda mangsa terutama pada deria rasa menimbulkan rasa seperti sesuatu mencucuk-cucuk tubuhnya.

Menurut Sheikh Wahid Abdussalam Baly, apabila seseorang penyihir melakukan sihir, maka khadam sihir akan menyerang dan bersarang di otak khususnya di bahagian yang mengawal aktiviti pendengaran, penglihatan, pergerakan tangan mahupun kaki mangsa.

Akibatnya, kemungkinan yang akan berlaku ialah anggota tubuh tersebut menjadi tidak berfungsi, sehingga menyebabkan buta, tuli, bisu, kaku dan lumpuh.

Kegagalan anggota tubuh untuk berfungsi termasuk jantung akibat sihir adalah perkara yang tidak mustahil kerana semuanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah. Walau zahirnya ia disebabkan angkara khadam sihir, tetapi hakikatnya Allah jua yang berkuasa melakukannya.

Allah S.W.T. bukan hanya berkuasa menghidupkan dan menghentikan jantung, bahkan bangkai keldai yang sudah reput juga boleh kembali bernyawa sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Uzair a.s.

Sihir Menghidupkan Orang Mati

Iblis dan syaitan juga diberikan kemampuan oleh Allah untuk menghidupkan makhluk yang telah mati melalui sihir. Walau bagaimanapun, kemampuan tersebut hanyalah tipu daya dan lebih berbentuk khayalan.

Ini kerana, hak untuk menghidupkan dan mematikan makhluk adalah hak Allah. Firman Allah dalam surah Az-Zumar: 42,

”Allah (yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir untuk memahaminya)”. Sekiranya ada ahli sihir mendakwa mampu menghidupkan orang yang telah mati atau mematikan orang yang hidup, maka dakwaan tersebut penuh dengan tipu daya dan helah.

Sihir boleh menyebabkan seseorang yang mati hidup kembali namun semuanya atas izin Allah, jin dan syaitan tidak punya kuasa

Ibnu Battutah mencatatkan satu kisah tentang ahli sihir. Ketika beliau menjadi tetamu kepada seorang pembesar di China, beliau dipertontonkan persembahan yang sangat menakjubkan.

Dalam persembahan itu, seorang ahli sihir telah memotong-motong anggota tubuh pembantunya. Setelah itu, dia mengumpulkan semula anggota tubuh yang terpisah dan melekatkannya antara satu sama lain, lalu menyepaknya.

Pembantu itu bangun dalam keadaan tubuh seperti sedia kala. Ibnu Khaldun pada mulanya mempercayai ia benar-benar terjadi. Beliau kemudiannya diberitahu bahawa apa yang disaksikan sebenarnya tidak berlaku.

Dalam kitab al-Wahyu al-Muhammadi, Syeikh Muhammad Rashid Redha turut mencatatkan cerita dari Dr. Alexander yang pernah menemui seorang ‘Lama’ di Tibet. Ketika itu, ada satu jenazah yang hendak dikebumikan.

‘Lama’ tersebut membaca sesuatu. Tiba-tiba jenazah tersebut bangun dan berbicara. Tetapi tidak lama kemudian, dia meninggal semula. Keadaan itu berlaku kerana jin atau syaitan yang diseru memasuki jenazah si mati dan setelah itu segera meninggalkannya.

Malaysia juga pernah digemparkan dengan kisah pengasas ajaran sesat Kerajaan Langit iaitu Ayah Pin yang didakwa telah berjaya menghidupkan seorang kanak-kanak.

Sri Sathya Sai Baba dianggap sebagai tuhan

Akhirnya dia dianggap sebagai dewa oleh sebahagian masyarakat Hindu. Pada pendapat penulis, kanak-kanak itu bukannya mati, tetapi pengsan atau pun telah dihipnosis oleh Ayan Pin.  

Begitu juga dengan Sri Sathya Sai Baba yang mempunyai ramai pengikut di dunia termasuk di Malaysia. Dia disanjung dan dianggap sebagai tuhan kerana kebolehan menghidupkan orang yang mati. Keajaiban yang ditonjolkan ini telah menggugat keutuhan akidah umat Islam sehingga ada yang terpedaya dengan ‘syaitan manusia’ tersebut.

Dalam memahami isu menghidupkan dan mematikan makhluk ini, kita perlu menanam dalam hati bahawa Allah adalah pemilik kuasa yang mutlak. Sekiranya kehidupan dan kematian itu berlaku akibat mukjizat ataupun sihir, kita hanya perlu mengiktikadkan dalam hati bahawa itu berlaku dengan izin dan kehendak Allah, bukan kerana kuasa makhluk. Perkara ini ditegaskan oleh Allah dalam surah Al-Haj: 6

Yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan yang sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Dan firman Nya lagi dalam surah al-Ahqaf: 33,

Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya – berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Sesungguhnya nyawa manusia adalah ciptaan Allah. Setiap yang ada pada manusia itu semuanya milik mutlak Allah. Hanya Allah yang berhak menghidup dan mematikan. Wallahu a’lam    

Oleh:  Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Pahang (UMP)        

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram