CUBA perhatikan gambar tangga hitam putih ini. Kelihatan bayangan putih seakan kelibat seorang wanita. Foto yang menampakkan sosok misteri ini diambil di tangga Raynham Hall.

Jelmaan wanita misteri dalam foto itu dikenali dengan julukan ‘Brown Lady’. Ini kerana mereka yang pernah terserempak dengan jelmaan ini mengatakan, kelibat wanita itu memakai gaun berwarna coklat.

Bayangan putih di tangga seakan kelibat seorang wanita.

Jelmaan wanita ini dikatakan menghantui rumah agam Raynham Hall yang terletak di England.

Menurut kisah yang diceritakan, hantu Brown Lady itu merupakan seorang wanita bernama Lady Dorothy Walpole (1686-1726) ,yang merupakan isteri kedua kepada Charles Townshed, seorang lelaki yang terkenal dengan sikap panas barannya.

Lady Dorothy.

Charles yang mengesyaki isterinya curang bertindak mengurung Dorothy di dalam sebuah bilik kecil dalam rumah agam tersebut. Dorothy dikatakan tidak dibenarkan keluar sekalipun hanya untuk bertemu anak-anaknya.

Dorothy menjalani ‘hukuman’ ciptaan Charles sehinggalah dia meninggal dunia sewaktu sudah tua. Semenjak kejadian itu, bayangan Dorothy yang digelar Brown Lady kerap dilaporkan berkeliaran dalam rumah agam tersebut.

Jelmaan Wanita Bergaun Coklat

PADA awal kurun ke-19, King George IV yang menginap di rumah agam tersebut mendakwa telah terlihat bayangan Brown Lady sewaktu beliau sedang berjalan di ruang tamu rumah yang besar itu.  Katanya, jelmaan wanita itu memakai sepasang gaun coklat, wajahnya pula kelihatan pucat dengan rambut tidak terurus.

Rumah agam Raynham Hall.

Pada tahun 1835, seorang lelaki yang dikenali dengan nama Kolonel Loftus datang ke rumah agam Raynham Hall sempena cuti Krismas. Sewaktu sedang berjalan menuju ke biliknya, Loftus terpandang satu susuk tubuh yang berdiri di ruang lapang di hadapannya.

Jelmaan wanita itu bergaun coklat. Loftus cuba mengejar dan melihat siapakah gerangan wanita tersebut, tetapi tiba-tiba ia ghaib. Itu bukan kali terakhir Loftus melihat kelibat si Brown Lady. Selang beberapa hari kemudian, sekali lagi dia ternampak kelibat itu. Kali ini, Loftus dapat melihat dengan lebih jelas wajah Brown Lady.

Menurut Loftus, jelmaan wanita itu memakai gaun coklat yang selalu dipakai oleh golongan bangsawan. Wajahnya kelihatan pucat tetapi bercahaya. Apa yang menakutkan Loftus ialah matanya yang seperti sudah dicungkil keluar.

Kolonel Loftus kemudian menceritakan pengalamannya kepada orang ramai. Dia terkejut apabila mendapati sudah ramai yang pernah terserempak dengan bayangan wanita misteri itu yang sering berlegar-legar dalam rumah agam tersebut.

Seorang pelukis telah melakar bayangan gambar Brown Lady dan lukisan itu kemudiannya digantung di dalam bilik di mana kelibatnya selalu kelihatan.

Beberapa tahun kemudian, seorang penulis novel, Kapten Frederic Marryat telah menginap di Raynham Hall. Frederic sengaja memilih bilik di mana bayangan Brown Lady selalu kelihatan. Dia menanti sepanjang malam untuk bertemu dengan ‘hantu’ yang sering disebut-sebut itu. Namun usahanya sia-sia. Brown Lady tidak muncul pada malam itu.

Penulis novel, Kapten Frederic.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian sewaktu Frederic bersama dua orang rakannya sedang berjalan menuruni tangga, mereka bertiga terlihat bayangan wanita yang membawa sebuah lentera. Mereka yakin, itu adalah Brown Lady.

Salah seorang rakan Frederic yang ketika itu membawa sepucuk pistol telah melepaskan tembakan ke arah bayangan tersebut. Peluru itu menembusi badan Lady Brown seperti melalui kepulan asap sebelum terkena dinding berhadapan bayangan itu.  

Kelibat misteri Brown Lady terus dilihat oleh ramai orang. Namun, kejadian yang paling diingati terjadi pada 19 September 1936.

Provand dan Indre Shira merupakan dua orang jurugambar untuk majalah Country Life. Mereka telah ditugaskan untuk mengambil gambar di Raynham Hall. 

Sewaktu sedang mengambil gambar reka bentuk dan hiasan dalaman rumah agam itu, Indre ternampak satu bayangan yang sedang menuruni tangga. Dia kemudiannya menjerit mengarahkan Provand untuk mengambil gambar.

Setelah gambar itu dicuci, mereka terkejut apabila bayangan yang dipercayai adalah Brown Lady berjaya diabadikan di dalam foto tersebut. Gambar itu kemudian disiarkan dalam majalah Country Life pada 16 Disember 1936.

Inilah foto kelibat yang berjaya dirakam dan disiarkan dalam majalah Country Life.

Ada antara orang awam yang menyoal kesahihan gambar tersebut, tidak kurang juga yang mendakwa ia hanyalah pantulan cahaya yang kebetulan berada di situ.

Namun, berdasarkan saksi-saksi yang ramai pernah melihat jelmaan Brown Lady, mereka percaya dengan kesahihan gambar tersebut.

Kemunculan jelmaan wanita itu dikaitkan dengan kehidupannya yang menyakitkan sepanjang dia berada di Raynham Hall, yang membuatkan dia masih terus menghantui rumah agam itu.

__________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam