MESYUARAT Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan.

Nizam menjelaskan, pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,’’ katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk memaklumkan penangguhan itu kepada semua ahli Parlimen.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Parlimen telah berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 Julai lalu dan sepatutnya berakhir pada 2 Ogos ini.

.