BAND pertama di bawah naungan Rocketfuel Entertainment yang sedang hangat diperkatakan dan mendapat tempat dalam industri muzik Malaysia, Madam terus mara dengan kejayaan single kedua Musnah sejak kali pertama diperkenalkan.

Dianggotai empat jejaka berbakat besar yang terdiri daripada Putera selaku vokalis, Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (pemain gitar).

“Kami sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap Madam. Segala kerja keras kami berempat selama ini akhirnya membuahkan hasil apabila band kami mula mendapat tempat di hati penggemar muzik tempatan,” kata Putera.

Single pertama mereka berjudul Luka yang dilancarkan pada Julai tahun lalu menjadi titik permulaan kejayaan apabila menjangkau semua ekspektasi dengan memperoleh tontonan sebanyak lima juta di saluran YouTube.

Ini disusuli pula dengan pencapaian single kedua berjudul Musnah yang dicipta oleh komposer terkemuka negara iaitu Amy Bong dan Zimi Sofazr.

Musnah dilancarkan melalui sebuah kerjasama di antara Rocketfuel Entertainment dengan JOOX, sebuah aplikasi penstriman atas talian yang popular.

Kerjasama itu terbukti berjaya apabila lagu tersebut memperoleh jumlah penstriman yang begitu tinggi sekali.

“Kami sama sekali tidak menjangkakan respon sebegini pada mulanya. Namun dengan kepercayaan yang diberikan oleh Feros (Ketua Rocketfuel Entertainment) kami beranikan diri dan mencuba nasib. Alhamdulillah ia tidak sia-sia,” kata Azuan.

Madam mahu cuba genre lain namun masuk kekal dengan muzik Rock

Menurut Herman, ramai yang mengenali Madam sebagai sebuah band rock, namun mereka terbuka untuk mencuba pelbagai genre lain pada masa akan datang.

“Banyak lagi yang ingin dicuba dan belum diterokai namun dalam masa yang sama masih mengekalkan elemen rock. Jangan lupa untuk menantikan karya terbaru yang bermutu daripada kami tidak lama lagi.

“Kami berharap agar peminat muzik di luar sana terus memberikan sokongan yang padu dalam usaha Madam memartabatkan muzik Malaysia ke persada Asia Tenggara dan Insya-Allah di mata dunia,” tuturnya.

Madam harap single Musnah diterima baik peminat

Walaupun Madam mula diperkenalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia bukanlah alasan bagi mereka untuk berdiam diri dan terus merebut peluang yang diberikan dalam dunia serba digital sekarang.

Ulas En. Jipie, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment yang terbaharu, dia berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh Madam kerana sebagai band pertama Rocketfuel mereka telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Kerjasama di antara Rocketfuel dengan JOOX melalui single Musnah ternyata membuahkan hasil. Saya yakin dengan bakat yang mereka ada, Madam mampu pergi jauh dan tak mustahil bakal setanding dengan band-band lagenda di Malaysia pada satu hari nanti,” ulasnya.