APA yang ingin saya kisahkan ini adalah mengenai sebatang pokok yang terkenal di kawasan tempat tinggal keluarga emak saya di kampungnya, di bahagian timur negeri Johor dulu.

Pokok tersebut adalah pokok keruing. Orang kampung emak saya memanggilnya ‘keruing bongkok’ kerana bentuknya bukan menjulang ke atas, tetapi membongkok.

Pak Usu saya pernah kata, suatu ketika dulu, daun-daunnya ada yang mencecah ke tanah. Tapi lama-kelamaan ia sudah tiada kerana dahan dan ranting yang hampir mencecah tanah itu dipatahkan oleh budak-budak yang bermain di situ.

Emak dan Pak Usu saya pernah menceritakan beberapa kejadian pelik yang berlaku di sekitar keruing bongkok itu. Antaranya adalah kisah sekumpulan budak-budak yang bermain berhampiran pokok tersebut, berlari bagai dirasuk hantu.

Salah satu peristiwa diceritakan oleh Pak Usu saya yang merupakan salah seorang saksi dalam kejadian itu. Ia berlaku semasa Pak Usu dalam darjah lima iaitu pada sekitar awal tahun 1980-an.

Suatu petang, Pak Usu dan berbelas-belas orang kawannya bermain bola sepak tidak jauh dari pokok keruing bongkok itu. Mereka sepakat bermain bola petang itu setelah melihat langit mendung.

Mereka tahu hujan pasti akan turun. Kalau tengah main bola, kemudian tiba-tiba hujan, memang best. Kira ‘syurga’ bagi mereka. Seperti yang diharapkan, petang itu hujan turun dengan lebat.

Ketika mereka seronok bermain, entah dari mana tiba-tiba mereka nampak sekumpulan tiga orang lelaki berbaju serba hitam mengusung sebuah keranda. Seorang di depan dan dua orang di belakang.

Tiada orang lain yang mengiringi di depan atau di belakang seperti yang biasa dilihat kalau ada orang mengusung jenazah ke kubur. Serentak itu, Pak Usu dan kawan-kawannya berhenti bermain bola. Mereka hanya tercegat memerhatikan gelagat tiga orang yang mengusung jenazah itu.

Timbul pertanyaan di fikiran mereka, siapa pula yang meninggal? Tak ada pun bunyi beduk pagi tadi di masjid. Biasanya kalau ada orang kampung meninggal, pasti semua orang tahu. Siapa pula orang yang mengusung keranda itu? Wajah-wajah mereka tidak pernah dilihat sebelum ini.

Pak Usu terfikir, mungkin mereka itu bukan orang kampung mereka, atau mungkin orang yang tinggal berdekatan dengan kampungnya. Tapi, kenapa semuanya berpakaian serba hitam?

Ada sesuatu yang pelik berkenaan pakaian tiga lelaki tersebut. Mereka tidak mengenakan songkok atau kopiah, sebaliknya mengenakan penutup kepala yang bersambung dengan baju. Ia seakan-akan pakaian rahib.

Tak pernah Pak Usu dan kawan-kawannya melihat orang yang mengusung keranda berpakaian pelik begitu. Walaupun begitu, mereka tahu bahawa yang mati itu adalah orang Islam kerana bentuk kerandanya menunjukkan bahawa jenazah itu beragama Islam.

Satu lagi, kenapa perlu mengusung jenazah di tengah-tengah hujan lebat? Kenapa tak tunggu sehingga hujan teduh? Pak Usu dan kawan-kawannya juga tertanya-tanya, kenapa mereka melalui kawasan tempat budak-budak kawan Pak Usu itu bermain? Mana ada kawasan perkuburan di situ?

Kalau benarlah jenazah itu hendak dikebumikan, mereka bukan bawa jenazah itu ke kawasan Pak Usu dan kawan-kawannya bermain bola. Mereka sepatutnya ke tanah perkuburan yang terletak di sebelah masjid, kira-kira dua kilometer dari situ.

Pak Usu dan kawan-kawannya terus terpaku memerhatikan saja ke mana jenazah itu hendak dibawa. Akhirnya, apabila sampai di pokok keruing bongkok, mereka bertiga yang mengusung keranda itu terus hilang, seolah-olah masuk ke dalam pokok tersebut.

Pak Usu dan semua kawannya yang menyaksikan kejadian pelik itu, terkejut. Mereka memandang sesama sendiri tanpa berkata apa-apa,terpinga-pinga.

Kejadian aneh itu membuatkan budak-budak tadi berasa teruja. Macam mana mereka boleh masuk ke dalam pokok? Membawa keranda pula! Apa tujuan mereka yang mengusung keranda itu masuk ke dalam pokok keruing bongkok itu?  

Walaupun seram dan takut, ada beberapa kawan Pak Usu yang berani. Mereka ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada tiga lelaki dan jenazah yang kini telah berada di dalam pokok itu.

Disebabkan itu, sebahagian daripada kawan-kawan Pak Usu yang berani itu pergi mendekati pokok tersebut. Walaupun ada yang menghalang dan rasa takut, tetapi mereka tidak mampu menghalang naluri ingin tahu sekumpulan yang berani itu.

Kumpulan yang berani itu terus merapati pokok tadi. Kumpulan yang penakut, yang seorang daripadanya adalah Pak Usu, hanya memerhatikan saja gerak-geri mereka.

Tiba-tiba budak-budak daripada kumpulan yang merapati pokok itu lari lintang-pukang ke arah budak-budak yang hanya menjadi pemerhati.

“Lari… lariiii…! Lari weiii lariii!!!” teriak mereka sambil berlari laju meluru ke arah kawanan Pak Usu.

Melihatkan mereka berteriak dan berlari, Pak Usu dan kawan-kawan yang menunggu tadi, tidak tunggu lama. Mereka berlari dalam hujan sambil meranduk tanah lapang yang digenangi air. Ramai juga yang jatuh tergolek.

Mereka bangun dan lari tanpa menoleh ke belakang sehingga sampai ke sebuah pondok di tepi jalan. Masing-masing tercungap-cungap macam ikan hidup di atas darat. Mereka yang dari kumpulan berani itu mula bercerita. Cerita mereka membuatkan kumpulan yang penakut, benar-benar terkejut.

Apa yang budak-budak tersebut lihat di sebalik pokok keruing bongkok itu adalah tiga kepala manusia yang semuanya terlekat pada batang pokok itu. Hanya kepala, tanpa badan!

Keadaan kepala-kepala tersebut sama seperti kepala tiga orang pengusung jenazah tadi, bertutup. Jika sebelum ini mereka tidak nampak wajah ketiga-tiga lelaki itu kerana bertutup, kali ini mereka boleh nampak dengan jelas.

Walaupun wajah ketiga-tiga kepala tersebut adalah seperti wajah manusia biasa dan tidak menyeramkan, namun kalau hanya kepala saja yang melekat pada pokok, sesiapa pun boleh terkejut.  

Betulkah cerita kawan-kawan daripada kumpulan yang berani tadi? Pak Usu kata tak tahulah sama ada betul atau sebaliknya. Tapi kalau dah semua yang pergi meninjau di sebalik pokok itu bercerita benda yang sama, sama-sama lari, sama-sama ketakutan, mestilah cerita itu betul.

Menurut Pak Usu, walaupun dia sendiri tidak melihat tiga-tiga kepala yang melekat pada pokok keruing bongkok itu dan tidak dapat mengesahkan kesahihannya, sekurang-kurangnya dia saksikan sendiri peristiwa tiga lelaki dan sebuah keranda ghaib dalam pokok berkenaan. Dia yakin, kawan-kawannya yang berani itu memang nampak sendiri tiga kepala melekat pada batang pokok itu.

Cerita Pak Usu dan kawan-kawannya itu cepat tersebar ke seluruh kampung. Pada petang itu juga, ramai penduduk kampung dan yang tinggal berhampiran, pergi ke pokok keruing bongkok untuk melihat sendiri tiga kepala yang melekat itu. Namun, malangnya, kepala-kepala tersebut sudah tidak ada.  

Hampir sebulan topik perbualan di kawasan itu adalah kisah ‘budak-budak nampak hantu’ saja. Bukan setakat orang kampung dan kawasan berhampiran saja, orang dari luar daerah pun ramai yang datang dan bertanya.

Walaupun yang datang itu tidak dapat melihat bukti kebenaran tiga kepala melekat di pokok keruing, namun orang ramai tidak putus-putus mengunjungi lokasi di mana peristiwa ganjil itu beraku.  

Itu adalah satu daripada beberapa kisah yang emak dan Pak Usu ceritakan kepada saya. Sebenarnya banyak lagi kejadian pelik yang berlaku sama ada di bawah pokok keruing bongkok atau di sekitarnya.

Saya lebih tahu cerita ‘budak-budak lari itu’ kerana sumbernya adalah Pak Usu saya sendiri. Dia yang mengalaminya. Jadi, saya lebih percaya cerita Pak Usu.

Daripada cerita emak dan Pak Usu yang memperincikan fizikal pokok tersebut, saya ada teori sendiri mengapa yang dikatakan ‘hantu’ itu suka pada pokok keruing bongkok.

Pertama, biasannya keruing tumbuh di kawasan hutan tanah pamah atau berbukit. Dalam kes ini, keruing itu tumbuh di tepi pantai yang berpasir.

Sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja, emak dan Pak Usu tinggal di perkampungan yang terletak di tepi pantai yang berpasir, bukannya di tepi hutan. Pelik juga bila keruing tumbuh di kawasan berpasir, seolah-olah ia tumbuh pada tempat yang salah.  

Pokok keruing selalunya tumbuh menjulang ke atas.

Kedua, keruing akan tumbuh menjulang ke atas dan bukannya bengkok dan membongkok seperti yang tumbuh di kampung itu.

Keruing biasanya boleh mencapai ketinggian sehingga 65 meter. Keruing bongkok pula, Pak Usu anggarkan hanya berketinggian sepuluh hingga sebelas meter sahaja.

Pucuknya pula membengkok ke arah tanah. Bahagian yang paling tinggi pada keruing itu bukannya bahagian pucuknya, tetapi bahagian batang tengahnya. 

Ketiga, pokok keruing biasanya mempunyai batang yang lurus, bulat dan agak licin. Ia juga keras seperti kayu yang sejenisnya seperti jati, cengal, belian, nyatuh, sentang, ramin dan sebagainya.

Namun bagi keruing bongkok, batangnya sangat menggerutu, tidak licin dan agak lembut. Sesiapa yang melihatnya, memang akan mengatakan yang ia sangat pelik.  

Tiga keanehan inilah yang saya kira menjadi penarik kepada ‘hantu’ untuk mendiami pokok itu.

Namun, itu hanya andaian saya saja. Mungkin juga tiga orang pengusung jenazah dan tiga kepala yang melekat pada batang pokok itu ada kaitannya dengan tiga keganjilan pada pokok keruing bongkok itu. Bagai saya kata, hanya mungkin sahaja, sekadar teori.

Lagipun kita sering mendengar tentang sesebuah pokok besar dan kawasan di sekitarnya bukan sahaja menjadi tempat bermain dan berehat bagi manusia, golongan yang kita tidak nampak seperti jin juga menyukainya.. Malahan ‘dia’ menjadikan pokok tersebut sebagai ‘tempat tinggal’ dan ‘tempat bermainnya’. Wallahualam. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui segalanya.

**Diceritakan oleh Nordin Hj Nasrullah    

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare