Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) sempat meluangkan masa membeli kuih-muih selepas hadir ke Majllis Penyampaian Bakul Makanan di Balai Raya Kerayong , Bera, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENANGGUHAN hari terakhir Sidang Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Rakyat esok adalah atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pandangan disuarakan Dr. Noor Hisham itu selepas mengambil kira peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 di Parlimen dalam tempoh hanya empat hari. 

Kata beliau, kebimbangan itu telah pun diperkatakan dalam mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada pagi Isnin, sebelum Sidang Khas bermula. 

Pada ketika itu, Ismail Sabri berkata, Dr. Noor Hisham membangkitkan dua perkara iaitu penangguhan Sidang Khas Parlimen dan dikurangkan masa perbahasan sehingga pukul 2 petang sahaja. 

“Namun begitu, ia tidak dilakukan dan Sidang Khas pun diteruskan seperti dijadualkan walaupun dah nampak mungkin akan berlaku peningkatan kes. 

“Selepas empat hari bersidang, kita keluarkan arahan supaya adakan ujian saringan kerana ada dua lagi telah didapati positif dan memang benar ada pertambahan kes dalam Parlimen sehingga lebih 70 jangkitan ketika ini. 

“Kalau di kawasan lain bila dah 70 kes, kerajaan dah isytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebab itu orang marah kepada ahli Parlimen seolah-olah ‘golongan kayangan’ ini mendapat kekebalan imuniti,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media ketika hadir ke Majlis Penyampaian Bakul Makanan di Masjid Kampung Charuk Puting, Bera, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan sah

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada wakil penduduk Kampung Cherok Puting, Bera, hari ini. 

Rangka lawatan bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan ke seluruh Parlimen Bera itu adalah yang pertama sejak Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu. 

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Rakyat yang dijadualkan esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. 

Nizam menjelaskan pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

Mesyuarat Khas Parlimen telah berlangsung selama empat hari minggu lalu dan sepatutnya berakhir esok. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keputusan yang dilakukan Perdana Menteri itu berdasarkan fakta dan sains, tidak melibatkan politik. 

Katanya, terdapat kebimbangan berlaku penularan lebih meluas kerana kesemua yang hadir ke Dewan Rakyat tidak tertakluk kepada gelembung Parlimen. 

Beliau turut mengakui ada pihak yang cuba mempolitikkan keputusan itu walaupun ia dilakukan atas nasihat Dr. Noor Hisham dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Dalam Malaysia ini semua nak berpoliik. Saya ingat kita sahaja negara dalam dunia yang sejak tamat pilihan raya sampai lima tahun berpolitik tak berhenti sedangkan negara lain habis sahaja pilihan raya semua bersama membina negara. 

“Keputusan bukan dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi atas nasihat daripada KKM dan berdasarkan Akta 342, KKM ada hak untuk arahkan. 

“Jadi, KKM arahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk buat keputusan bahawa sidang ditangguhkan kerana kebimbangan kes meningkat semula,” jelas beliau. 

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram