Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani./ Gambar FB IPD Brickfields.

Seramai 29 individu dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa individu lain melalui rakaman video dan gambar.

“Selain itu, polis juga menerima lebih 20 laporan polis berhubung perhimpunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan secara jelas telah melanggar syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.

“Polis sebelum ini telah beberapa kali memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi SOP PPN demi keselamatan orang ramai,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Perhimpunan baju hitam langgar SOP, dedah diri kepada COVID-19

Menurut Acryl Sani, pihaknya menyatakan pendirian bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.

“Sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab terutama dalam situasi penularan wabak COVID-19 ini.

“Polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan,” katanya.-BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram