ADA seorang raja, punya seorang sahabat baik. Sahabatnya itu seorang yang bijaksana dan terkenal dengan ketakwaannya. Setiap apa yang berlaku kepada raja itu, pasti sahabatnya akan berkata, “Insya-Allah, pasti ada baiknya.” Kata-kata itu sentiasa diulang walaupun perkara yang berlaku adalah perkara buruk dan menyedihkan.

Suatu hari, mereka pergi berburu dalam hutan. Berlaku kemalangan kecil menyebabkan salah satu jari raja luka dan putus terkena pisau.

“Insya-Allah, pasti ada baiknya,” kata sahabatnya.

Marahlah raja itu mendengarnya. Lantas disuruh pengawal membawa sahabatnya itu pulang lalu dipenjarakan. Pun begitu, sahabatnya itu tetap mengulangi ayat yang sama, “Insya-Allah, pasti ada baiknya.”

Semasa memburu, si raja tersesat dalam hutan. Terpisah daripada pengawal pengiring. Kebetulan dia ditemui oleh sekumpulan puak yang mengamalkan ritual aneh.

Maka, raja itu hendak dijadikan korban oleh mereka. Namun bila diperiksa, didapati raja itu cacat kerana jarinya ada yang putus. Sedangkan puak itu harus menyediakan manusia yang sempurna fizikalnya untuk dijadikan korban ritual mereka.

Akhirnya, dilepaskan semula raja itu. Kembalilah dia ke istana. Segera dia membebaskan semula sahabatnya yang sebelum itu dipenjarakan.

“Saat engkau mengatakan ‘insya-Allah, pasti ada baiknya’ ketika jariku terpotong, aku berasa marah. Namun, baru aku sedar bahawa kebaikannya itu memang ada. Kerana jari yang hilang, aku selamat daripada menjadi korban puak yang tinggal di dalam hutan itu. Tapi aku ingin bertanya. Jika itu kebaikan untuk aku, apa pula kebaikannya untuk dirimu apabila dipenjarakan?” tanya raja.

“Pasti ada baiknya aku dipenjarakan. Jika aku masih bersamamu ketika itu, pasti aku yang akan dijadikan korban sebagai penggantimu. Sesuatu yang kita tidak suka atau membuat kita marah, mungkin ia adalah yang terbaik untuk diri kita. Insya-Allah, hanya Dia yang lebih mengetahui rahsianya,” jawab sahabat itu tersenyum.

_________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam