Nur Dhabitah Sabri pada saingan akgir 3 meter papan anjal Sukan Olimpik Tokyo hari ini./ Gambar FB MSN.

PENERJUN wanita negara Nur Dhabitah Sabri mungkin terlepas pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun penampilannya sudah pasti memenangi hati seluruh rakyat Malaysia dengan senyuman yang menawan.

Nur Dhabitah yang sentiasa mengukir senyuman ketika melakukan terjunan, terpaksa akur apabila menamatkan saingan akhir 3 meter (m) papan anjal wanita individu di kedudukan keempat di Pusat Akuatik Tokyo, hari ini.

Penerjun berusia 22 tahun itu, menampilkan aksi konsisten pada setiap terjunan lima pusingan acara tersebut, namun pungutan mata diperolehnya tidak mencukupi untuk menaiki podium.

Penerjun berasal dari Kuala Lumpur itu terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat setelah mengumpul 326.15 mata selepas lima pusingan.

Juara bertahan dari China, Shi Tingmao yang mengumpul 383.50 mata memenangi pingat emas, manakala rakan senegaranya, Wang Han meraih perak setelah mengutip 348.75 mata.

Pingat gangsa milik Krysta Palmer setelah penerjun Amerika Syarikat itu mencatat 343.75 mata.

Ketika ditemui pemberita, Nur Dhabitah berkata walaupun gagal meraih pingat, beliau tetap berpuas hati dengan prestasinya kerana berjaya memberikan tentangan sengit kepada penerjun lain.

“Saya rasa sangat gembira, bangga dengan diri sendiri, malah jurulatih saya pun berpuas hati. Bagi saya, sasaran saya di sini adalah untuk masuk ke akhir. Saya masih muda dan perjalanan masih jauh,” katanya.

Nur Dhabitah berkata pada saingan hari ini, beliau sudah menampilkan segala kemampuannya dalam kelima-lima terjunan tersebut.

“Terjunan saya konsisten. Cuma bukan rezeki saya kali ini. Jadi tiada apa yang perlu dikesalkan kerana saya sudah memberikan segalanya,” kata beliau yang tekad berusaha keras bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Ditanya mengenai penampilannya yang sentiasa senyum ketika melakukan terjunan, Nur Dhabitah berkata beliau benar-benar teruja dapat beraksi di pentas final itu.

“Saya menikmati sepenuhnya suasana saingan hari ini dan bagi saya bahasa badan adalah penting. Saya tidak mahu tunjuk kepada orang ramai yang saya gementar,” katanya, yang memenangi hati rakyat Malaysia dan menjadi ‘trending’ di media sosial walaupun gagal meraih pingat pada temasya sukan itu.

Nur Dhabitah berkata selepas temasya sukan itu, beliau ingin berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya rasa lama sangat tidak jumpa keluarga, rasa macam setahun,” katanya dalam nada sebak.

Sukan Olimpik Tokyo adalah penampilan kali kedua Nur Dhabitah di pentas Olimpik, selepas menduduki tempat kelima acara 3m papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong dan tempat kesembilan dalam 10m platform pada Olimpik Rio 2016.

Semalam, pasangan Aaron Chia-Wooi Yik menyumbangkan pingat gangsa yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, apabila menumpaskan beregu Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Musashino Forest Sport Plaza.- BERNAMA