Anggota polis memeriksa buku log salah sebuah tapak pembinaan ketika mengadakan Operasi Khas Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara penuh atau total lockdown di sekitar Kawasan Pembinaan Setia Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 34 premis telah diarahkan tutup serta-merta kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan menerusi operasi pematuhan yang dilaksanakan pegawai penguatkuasaan semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan dengan kekuatan 18,675 anggota telah melaksanakan 74,527 pemeriksaan semalam.

Kata beliau, pemeriksaan itu termasuk snap check COVID-19 bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, Hishammuddin tidak menyatakan 34 premis yang diarahkan tutup serta-merta melibatkan kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan atau asrama penempatan pekerja.

Beliau memaklumkan, pemeriksaan itu meliputi 1,387 di semua kilang seluruh negara.

“Selain itu, pasukan pemeriksaan juga telah melakukan penguatkuasaan di 15,580 premis perniagaan; 558 tapak pembinaan dan 155 asrama penempatan pekerja.

Baca artikel berkaitan: 29 premis ditutup, 635 individu ditahan langgar SOP semalam

“Bagi individu pula, seramai 375 orang telah ditahan semasa pemeriksaan dilakukan semalam.

“Ia meliputi 348 jumlah individu yang dikenakan kompaun kerana ingkar SOP dan 27 lagi telah direman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Operasi Benteng yang dilaksanakan semalam juga telah menyaksikan seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dan merampas tiga buah kenderaan darat.

Kata beliau, Operasi Benteng melibatkan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain.

“Semalam, sebanyak 890 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia melibatkan 836 Operasi Penawar atau SJR PKP; 45 Operasi Benteng melibatkan PDRM, ATM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) manakala sembilan Operasi Benteng AKSEM,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram