GAMBAR: Abd Razak Aid

ANALISIS

MAJLIS Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat tergempar esok, pukul 4 petang secara maya. Sebenarnya tidak sukar untuk menduga apa yang bakal mereka bincangkan.

Sudah pasti ia berkaitan adakah parti itu akan terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas usaha menyingkirkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat pertama pada 7 Julai lalu gagal sehingga memaksa mereka membuat keputusan ‘separuh masak’.

Keputusan tersebut ialah UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tetapi kekal dalam Kerajaan PN. Kenapa keadaan itu berlaku? Ia kerana kesemua ahli Parlimen parti itu dalam Kabinet dan GLC tidak bersetuju dengan pendirian MT.

Jika kesemua mereka bersetuju dengan keputusan MT, sudah pasti UMNO akan meninggalkan kerajaan PN tetapi UMNO tidak boleh berbuat demikian kerana ahli-ahli Parlimennya masih mempunyai fikiran yang waras untuk tidak mencetuskan kemelut politik ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Tambahan pula dalam ‘peperangan’ itu empat ahli Parlimennya berada di barisan hadapan dalam melaksanakan pelbagai usaha untuk memerangi pandemik berkenaan.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba dan Menteri Sains dan Teknologi yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) , Khairy Jamaluddin. Keempat-empat dianggap menunjukkan prestasi yang amat baik.

Tetapi apa yang menarik untuk diperkatakan, seandainya MT UMNO membuat keputusan untuk tidak mahu lagi menyertai Kerajaan PN, adakah ahli-ahli Parlimen dalam Kabinet dan GLC akan turut serta? Atau mereka akan kekal berada dalam kerajaan?

Pada masa sama hari ini juga, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membuat ‘gemparan’ politik apabila mendakwa Kerajaan PN sudah tumbang kerana selain daripada jumlah ahli Parlimen yang turut berarak ke Parlimen hari ini, ‘’saya dapat maklumat dari parti-parti lain ada mengemukakan senarai yang minta keluar dari PN’.

Adakah kenyataan itu ada kaitan dengan mesyuarat MT esok? Maklumlah dalam UMNO ada ‘anak murid’ Presiden PKR itu.

Tidak mengapalah Anwar boleh mendakwa apa sahaja lagipun, ini bukanlah kali pertama membuat ‘gemparan’ politik, tetapi apa yang lebih penting ialah pendirian ahli-ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan dan GLC, adakah mereka akan terperangkap dalam mainan politik atau berpegang kepada kata Ahli Parlimen Padang Rengas,Datuk Nazri Tan Sri Aziz bahawa mereka bukan boleh dicucuk hidung?

Penulis memahami perasaan ingin keluar daripada kerajaan PN dalam kalangan pemimpin tertentu dalam UMNO sudah tidak dapat dibendung lagi. Mereka kini bagaikan ‘melompat keriangan’ apabila MT UMNO akan bermesyuarat esok, tetapi adakah kesudahannya nanti UMNO akan meraih keuntungan.

Kalau betul mahu keluar daripada Kerajaan PN, cakap secara terus terang dengan siapa UMNO mahu bergabung untuk menubuhkan kerajaan? Apakah dengan Jajaran Baharu melibatkan PKR, DAP dan Amanah atau bersama degan Pejuang dan Warisan? Dan siapakah pilihan mereka untuk menjadi Perdana Menteri. Jangan esok keputusan MT UMNO sama taraf sahaja dengan ‘gemparan’ politik Anwar.

Tetapi apapun keputusan UMNO esok yang ada kaitan dengan menarik diri daripada Kerajaan PN tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Tidak payahlah melaungkan bahawa negara memerlukan pemimpin lebih baik dan tidak perlu membuang masa dengan agenda yang tiada dalam Perlembagaan mewujudkan Perdana Menteri Interim.

Dalam keadaan negara kini berada dalam pelan pemulihan dan hanya tinggal tak sampai dua bulan lagi negara boleh mencapai imuniti kelompok, sebarang tindakan UMNO untuk turut senada dengan Pakatan Harapan untuk menumbangkan Kerajaan PN dan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Sebagai parti yang mahu mencari keredhaan Allah, UMNO tidak sepatutnya menjadi penyumbang kepada keadaan ketidakstabilan politik negara dan UMNO tidak boleh tersalah langkah sehingga menyebabkan ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Lebih baik, UMNO terus berada dalam kerajaan sehingga akhir tahun ini dan boleh minta supaya PRU-15 diadakan awal tahun depan, buat masa sekarang sama-sama tumpu selesai masalah Covid-19.

Apapun penulis tidak mengharapkan MT UMNO akan membuat satu keputusan yang akan menenangkan keadaan kerana khabarnya keterujaan untuk mewujudkan jajaran baharu  dan menyingkirkan Muhyiddin sudah tidak terbendung lagi… Betul atau tidak, kita tunggu esok…walaupun ‘bunga-bunganya’ sudah ada.