Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim./ Gambar fail FB IPK KL.

POLIS akan memanggil Ahli Parlimen dan peserta-peserta yang terlibat dalam perarakan ke Bangunan Parlimen hari ini untuk memberi keterangan berhubung perarakan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua mereka yang terlibat sedang dikenal pasti, dan perarakan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Setakat ini, pihak polis telah menerima dua laporan polis mengenai perarakan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Polis hari ini menghalang cubaan Ahli Parlimen Pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan COVID-19.

Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen.

Azmi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai perarakan berkenaan semalam bahawa perhimpunan solidariti bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di kawasan Parlimen.

“Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan dengan kakitangan Parlimen yang kemudian memberitahu bahawa tiada sebarang sidang Dewan Rakyat diadakan hari ini.

“Oleh itu, pihak polis membuat keputusan untuk melakukan sekatan jalan raya di kawasan sekitar Parlimen bagi tujuan keselamatan,” katanya sambil menambah seramai 500 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi mengawal situasi semasa perarakan itu.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ Sabtu lepas, Azmi berkata 11 peserta dan penganjur telah hadir memberi keterangan, dan menurutnya 19 laporan polis berhubung isu itu telah diterima.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan 47 individu lain yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan berkenaan berdasarkan rakaman video dan gambar yang diperoleh oleh pihak polis.

“Satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan perhimpunan ini melibatkan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.- BERNAMA