SELEPAS perarakan beramai-ramai menuju ke bangunan Parlimen dihalang pihak keselamatan, dua ahli Parlimen PKR tampil membuat laporan polis tengah hari tadi.

Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu dibuat oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir dan Ahli Parlimen Baru, P. Prabakaran.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, kedua-dua ahli Parlimen PKR itu menegaskan laporan berkenaan dibuat kerana hak mereka untuk memasuki bangunan tersebut dihalang.

AKMAL NASRULLAH NASIR./ Gambar FB Akmal Nasir.

Sedangkan kata Akmal, kakitangan Parlimen misalnya dibenarkan masuk ke bangunan tersebut pagi tadi.

Walhal katanya, mereka juga mempunyai hak sebagai ahli Parlimen tambahan pula tugas mereka bukan hanya ketika persidangan tetapi ada prosiding lain seperti Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Kami tidak boleh dihalang ke bangunan Parlimen. Dengan laporan ini biarlah siasatan dilakukan iaitu siapa yang mengarahkan pihak keselamatan halang kami,” katanya.

Pada sidang media itu, Akmal memaklumkan laporan itu antara lain menyentuh Seksyen 124 Kanun Keseksaan berhubung perbuatan menghalang ahli Parlimen dan demokrasi.

Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Ditutup tapi pembangkang masih cuba nak masuk Parlimen

Wujud kes kebolehjangkitan tinggi punca Parlimen ditangguh – Dr.Noor Hisham

Apabila ditanya mengenai tindakan mereka berhimpun pagi ini yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), Akmal berkata, penguatkuasaannya perlu adil.

“Yang pertama perlu disiasat ialah laporan mengenai kehadiran menteri-menteri ke rumah Perdana Menteri tengah hari Khamis lalu,” jelasnya sambil membangkitkan mengenai mesyuarat yang didakwa berlaku di sebuah premis di ibu negara malam tadi.

Hari ini sepatutnya menjadi hari terakhir sidang khas Dewan Rakyat, namun pihak Parlimen menangguhkannya mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran penularan kes COVID-19 di bangunan itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata, ahli Parlimen terlibat bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis.

Beliau berkata walaupun mereka bersurai dengan aman tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram