manusia perlu reda Allah

Menjadi satu persoalan yang besar, sebagai manusia mengapa kita sangat memerlukan reda dari Allah. Adakah manusia boleh hidup tanpa reda Allah sebagaimana orang-orang yang kufur?

Menjawab persoalan ini, jelas dalam al-Quran, seseorang yang mendapat keredaan Allah, bermakna dia memperoleh nikmat yang amat besar ketika menuju akhirat. Ini sesuai dengan petikan dari surah at-Taubah: 72,

Allah menjanjikan kepada orang mukmin lelaki dan perempuan (akan mendapat) syurga yang di  bawahnya mengalir sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya dan mendapat tempat-tempat yang bagus di syurga ‘Adn. Dan keredaan Allah lebih besar. Itu adalah kemenangan yang agung.

Jika kita merujuk tafsir Ibnu Kathir, “Dan keredaan Allah lebih besar. Itu adalah kemenangan yang agung”, ia membawa maksud keredaan Allah terhadap orang yang beriman sangat besar, agung dan lebih berharga dari kenikmatan yang mereka miliki di syurga.

Hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan tentang ayat ini ialah, “Sesungguhnya Allah akan berfirman kepada segenap penghuni syurga, wahai sekalian penghuni syurga.” Mereka menjawab, “Kami penuhi panggilan Mu wahai Rabb kami dan kebaikan berada di tangan Mu.” Lalu Allah berfirman,

“Apakah kalian reda?” Mereka menjawab, “Mengapa kami tidak reda wahai Rabb kami, sementara Engkau telah berikan kepada kami, apa yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun dari makhluk Mu.”

Allah berfirman lagi, “Mahukah kalian aku berikan sesuatu yang lebih baik dari itu semua?” Mereka menjawab, “Apakah yang lebih baik dari itu?” Allah berfirman, “Aku berikan keredaan Ku untuk kalian sehingga sesudah ini, Aku tidak akan pernah lagi murka kepada kalian untuk selama-lamanya.” HR Bukhari & Muslim

Reda Allah sangat perlu untuk kita menjalani kehidupan dunia yang penuh ujian

Syeikh Abdul Wahid Zaid ada menyatakan, reda merupakan pintu Allah yang Maha Agung, kerehatan hamba-hambanya dan syurga kepada dunia. Sifat reda juga akan menerbitkan kedamaian, ketenangan, dan ketetapan hati dalam menjalani kehidupan seharian dan menghadapi sebarang kemungkinan.

Oleh itu, sesiapa yang memperoleh keredaan Allah bermakna kehidupannya di dunia ini akan dipermudahkan dari segala kesulitan mahupun musibah.

Manakan tidak, jika dalam hati dan jiwa sudah tertanam dan dipenuhi dengan sifat reda, sudah semestinya dia akan menerima apa sahaja ujian, yang Allah berikan dengan berlapang dada, dan mempercayai setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya yang tersembunyi.

Ini sebagaimana yang dialami oleh para sahabat r.a. ketika melihat tentera Ahzab, mereka tidak gentar bahkan mereka menyebut,

Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul Nya kepada kita. Dan benarlah Allah dan Rasul Nya. Dan yang demikian itu menambahkan keimanan dan keislaman mereka.” Surah al-Ahzab:22

Justeru sesiapa yang diredai Allah pastinya akan diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia mahupun akhirat. Lalu mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, dan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

Firman Allah surah al-Fajr: 27 hingga 30, “Wahai jiwa yang tenang dan tenteram, kembalilah kepada Tuhan mu dalam keadaan reda dan diredai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hamba Ku (yang soleh). Dan masuklah ke dalam syurga Ku.”

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram