Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

ANALISIS

DALAM beberapa hari ini rancak sungguh segelintir pemimpin-pemimpin politik bercakap soal mahu Perdana Menteri ditukar, menggesa kerajaan interim diwujudkan dan terbaru, mengaitkan nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keadaan ini dikaitkan dengan imej UMNO yang dianggap semakin kemaruk mahu merebut kuasa sedangkan parti ini gagal mendapat majoriti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah bersama Barisan Nasional.

Keghairahan itu tidak kena masanya kerana negara sedang bertungkus lumus memerangi penularan Covid-19. Justeru UMNO dilihat hanya mahu mengambil kesempatan untuk kembali berkuasa atau lebih tepat lagi ‘menangguk di air keruh’.

Tetapi sebenarnya UMNO bukanlah sedemikian kerana parti ini mahu membela rakyat yang sekarang ini seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Mungkin bagi segelintir pihak yang begitu teruja mahu menjadi Perdana Menteri atau ‘kembali’ menjadi Perdana Menteri, maka  inilah kesempatan terbaik untuk UMNO tapi tidak sedemikian bagi Ismail Sabri iaitu Naib Presiden UMNO yang memikul amanah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Namun Ismail Sabri dengan tegas menyatakan,”Kita tidak perlu layan apabila ada pihak cuba nak melaga-lagakan atau memecah belahkan kerajaan. Kalau layan lagi teruk.’’

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu dilihat sebagai kesungguhan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat dan mampu ‘memperbaiki’ imej UMNO yang semakin dicalarkan oleh keterujaan pemimpin-pemimpin tertentu. Memanglah ada pihak yang begitu ghairah mahu menukar Perdana Menteri dan mengharapkan UMNO kembali menjadi pemimpin nombor satu negara.

Ismail Sabri ternyata tidak mahu terperangkap dengan sebarang mainan politik ketika tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha memerangi Covid-19 memandangkan seperti mana kata beliau tempoh mencabar ketika ini bukan masa sesuai untuk berpecah sebaliknya semua pihak perlu bersatu menghapuskan pandemik tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) sempat meluangkan masa membeli makanan tengahari selepas hadir ke Majllis Penyampaian Bakul Makanan di Balai Raya Kerayong, Bera, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Atas semangat ‘demi rakyat’ itulah, Muhyiddin memberi kepercayaan penuh kepada empat menteri daripada UMNO untuk memainkan peranan menangani Covid-19. Selain Ismail Sabri, tiga lagi ialah Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.Adham Baba dan Menteri Sains dan Teknologi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

UMNO sebenarnya lebih banyak diberi kepercayaan dalam kerajaan berbanding parti-parti lain. Bahkan, pada ketika ini, boleh dikatakan hampir semua Menteri UMNO yang dilantik lebih menonjol ketika menangani pandemik Covid-19.

Sepatutnya, ia menjadi satu penghargaan buat parti orang Melayu yang terbesar di tanah air kita. Kita patut berbangga kerana walaupun bukan lagi menjadi parti pemerintah yang mutlak seperti sebelum ini, peranan pemimpin UMNO pada hari ini sering diutamakan. Bermakna kepimpinan UMNO memang benar-benar ditagih.

Tapi malangnya, ada pihak termasuk pemimpin-pemimpin tertentu yang seolah-olah tidak senang dengan keadaan ini. Mereka cuba menjadikan peningkatan kes baharu dan pembatalan Ordinan Darurat sebagai ‘peluru’ untuk melaksanakan agenda politik mereka. Ismail Sabri masih kekal kukuh berpegang pada pendirian parti dan dalam masa yang sama menggalas tugas mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Sekarang  ada pula yang bercakap pula soal kerajaan interim dan Perdana Menteri interim dengan cuba mengheret Ismail Sabri sekali lagi. Tetapi Menteri Pertahanan itu tidak mahu tercampak dalam dunia awang-awangan dengan perancangan sedemikian.

Sebaliknya beliau bertegas tidak akan bersekongkol dengan satu tindakan yang beliau sifatkan, “sengaja mahu melaga-lagakan atau memecah belahkan kerajaan.’’

Sikap Ismail Sabri itu membuktikan tidak semua pemimpin UMNO mahu bermain politik ketika rakyat dan negara berada dalam kesusahan. Ahli Parlimen Bera itu mahu melaksanakan amanah sebaik mungkin dan bukannya bersikap seperti pemimpin politik tertentu ‘yang di depan bercakap lain, di belakang buat lain.’

Oleh itu daripada segelintir pemimpin politik, baik dalam UMNO, BERSATU, PAS, PKR, DAP, PAN atau Pejuang dan Muda sekalipun, bak kata orang Kedah ‘dok merapu meraban’ soal Perdana Menteri interim lebih baik mereka duduk diam-diam kalaupun tidak mahu membantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

Apatah lagi dengan melanggar SOP melaksaksanakan himpunan di Dataran Merdeka sedangkan ia terang-terangan hanya akan mewujudkan kluster baharu dan menambahkan kerja petugas barisan hadapan.

Berilah ruang kepada Ismail Sabri dan rakan-rakan dalam Kabinet bersatu sebagai sebuah pasukan untuk memulihkan negara daripada pandemik tersebut. Lagipun seperti mana kata Ismail Sabri jawatan Perdana Menteri interim tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan isu berkenaan tidak patut timbul.

Jadi kalau pemimpin-pemimpin politik mendesak Perdana Menteri lepas jawatan atau  yang sekarang ini begitu hebat bercakap soal Perlembagaan berikutan isu pembatalan Ordinan Darurat, maka mereka juga harus faham soal Perdana Menteri Interim, termasuklah pelanggaran kepada pematuhan undang-undang.

Tindakan mereka yang terus bercakap soal tersebut adalah tidak wajar sama sekali, ia seolah-olah terdapat niat tersembunyi mahu melaga-lagakan Ismail Sabri dan Muhyiddin. Mereka mungkin mahu mewujudkan hubungan tidak harmoni dalam kerajaan dan akhirnya membawa perpecahan.

Kalau itu berlaku, tercapailah agenda mereka untuk memastikan ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan dan GLC menarik sokongan kepada Muhyiddin. Sebab itulah Ismail Sabri menegaskan, soal Perdana Menteri Interim itu jangan dilayan kerana ia boleh membawa kesan buruk kepada perpaduan dalam kerajaan.

Jika itu terjadi, UMNO jangan ingat mereka akan meraihkan keuntungan, tersilap langkah parti itu akan dituduh ‘kemaruk kuasa’ sedangkan Dap dan PKR sudah sedia menunggu menangguk di air keruh.

Kesimpulannya, hentikanlah kerja-kerja tidak bijak yang akan memburukkan lagi situasi politik negara. Kalau Muhyiddin mahu berpolitik sudah pasti beliau tidak meletakkan ahli-ahli Parlimen UMNO di posisi strategik bagi memerangi Covid-19, kerana ia juga sebenarnya satu pengakuan bahawa kepimpinan UMNO ditagih demi negara.

Tetapi Perdana Menteri tidak memikirkan soal itu kerana seperti mana kata Ismail Sabri, ‘’tanggungjawab sebagai pemimpin lebih besar ketika ini sedang berhadapan kesukaran.

Justeru kepada semua pemimpin politik, ingatlah kata-kata Ismail Sabri apabila ditanya soal Perdana Menteri Interim iaitu, ‘’Tindakan kita sepatutnya mendamaikan, bukan terlibat dari segi memecah belahkan. Ini bukan masa sesuai untuk sesiapa sahaja berpecah, sebaliknya kita perlu bersatu. Apa yang penting ketika ini adalah kebajikan rakyat.’’