MENGALAMI penurunan berat badan yang mendadak telah mengundang pelbagai spekulasi negatif terhadap si empunya badan iaitu oenyanyi Hafiz Suip.

Apa tidaknya, ramai menuduh dirinya mengambil barang terlarang yang menjadi faktor mengapa bentuk fizikal nya semakin kurus.

Menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar itu, penyanyi Awan Nano ini akui tertekan apabila sering ditanya soalan yang sama.

“Bayangkan jika anda berada di tempat saya dan ditanya dengna soalan yang sama, tertekan tak? Memang tertekan sebab saya juga manusia biasa.

“Menjadi artis hanyalah kerjaya saja tetapi realitinya saya sama seperti orang biasa yang akan alami tekanan bila kerap dituduh dengan perkara yang bukan-bukan.

“Kadangkala saya terfikir apa maksud disebalik pertanyaan yang selalu dilontarkan kepada saya. Jika mereka benar-benar prihatin dengan kesihatan saya, alhamdulillah.

“Bila orang tanya ‘Hafiz sakit ke?’ lama-lama ia akan menjadi kenyataan pula. Apa yang keluar dari mulut kita ini bukankah satu doa?,” katanya kepada URTV.

Kata Hafiz,31, dia sudah melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk membuat rawatan secara perubatan Islam. hasil keputusan, tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, saya dah buat rawatan dengan doktor dan turut berjumpa dengan Ustaz-ustaz sebagai alternatif lain. Syukur, keputusannya saya sihat saja.

“Janganlah buat tanggapan dan jatuhkan hukuman kononnya saya ambil dadahlah, kancinglah, keluarga tak bagi makan dan pelbagai lagi kata-kata kurang enak dilemparkan.

“Saya terpaksa ‘telan’ semua hal negatif yang dilemparkan kepada saya. Iyalah, kalau saya buka mulut, nanti jadi perkara lain pula…nanti jadi kurang sopan pula di mata orang luar,” luahnya.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Berakhirlah Pencarianku yang merupakan paduan suaranya bersama penyanyi Ernie Zakri.