
SEHARIAN suntuk penulis bersama-sama jurugambar, Abdul Razak Aid turun ke Bera, Pahang atas dasar kerja bagi membuat liputan program ‘balik kawasan’ Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Walaupun itu cuma program rutin Ismail Sabri sejak 2004 lagi, namun ‘kepulangan’ kali ini lebih istimewa kerana ia merupakan kali pertama beliau pulang sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam tempoh mencabar ketika ini akibat penularan COVID-19, tiada ‘sambutan’ besar-besaran, tiada ratusan penyokong hadir. Yang ada cuma penerima bantuan bakul makanan dengan program mengikuti prosedur operasi standard (SOP).
Dibebani dengan tugas berat sebagai Timbalan Perdana Menteri sejak 7 Julai lalu di samping menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, Ismail Sabri tetap tidak melupakan kebajikan masyarakat di Bera.
Malah, selama satu tahun, empat bulan dan enam hari sebelum itu, beliau telah berdepan pelbagai cabaran sepanjang menggalas tugas Menteri Kanan Kluster Keselamatan demi keselamatan rakyat.
Isu rakyat juga menjadi pegangan Ismail Sabri hampir setiap masa dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.
Jika ada masa terluang terutama di hujung minggu, pasti ada sahaja program dirangka untuk membantu orang Bera mengharungi liku-liku sewaktu tempoh sukar ketika ini.
Baca artikel berkaitan: PM Interim: Itu hanya khabar angin – Ismail Sabri
Sehingga hari ini, lebih 19,000 bakul makanan telah pun diedarkan kepada penduduk Bera yang memerlukan tidak mengira latar belakang sejak Januari lalu.

Melihat kepada keperibadian beliau menyantuni masyarakat, tidak syak lagi mengapa orang Bera amat menyayangi Ismail Sabri.
Peluang bertemu rakyat di Bera juga digunakan sepenuhnya Ismail Sabri bagi mendengar luahan untuk diambil tindakan segera.
Kemesraan yang ditampilkan itu bukan ‘mainan politik’ sahaja sebaliknya benar-benar ikatan yang telah terjalin sejak mula menjadi Ahli Parlimen Bera 17 tahun lalu.
Keprihatinan itu juga membawa kepada tindakan beliau berhenti sekejap di sebuah gerai lauk-pauk bersebelahan Dewan Komuniti Kampung Mengkarak, Bera untuk membeli juadah makan tengah hari.
Lebih mengejutkan pemilik gerai, Kamsina Mohd. Ali, 52, apabila Ismail Sabri ‘memborong’ hampir semua lauk-pauk sekali gus melegakan hati Kamsina yang berdepan kesukaran berniaga akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Karisma ditonjolkan Ismail Sabri itu juga menjadi punca mengapa nama beliau telah beberapa kali disebut calon sesuai menggalas jawatan Perdana Menteri Interim.
Bagaimanapun, ia telah dinafikan tuan punya badan yang menyifatkannya hanya khabar angin semata-mata kerana fokus utama ‘Pak Long’ ketika ini hanyalah memerangi COVID-19 dan menyelesaikan isu rakyat.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram