KERAJAAN masih belum memuktamadkan perolehan vaksin COVID-19 jenis Pfizer untuk tahun hadapan kerana masih berada di peringkat awal rundingan.

Namun begitu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, rundingan itu telah dimulakan.

Pada masa sama, kata beliau, harga bagi pemerolehan vaksin itu juga masih belum dimuktamadkan.

“Saya telah memulakan rundingan dengan Pfizer untuk pembelian bagi tahun 2020. Rundingan baru sahaja bermula dan kita belum muktamadkan perolehan yang dikehendaki Malaysia termasuk harga jualan akan ditawarkan Pfizer.

“Apabila kita dah muktamadkan nanti saya akan maklumkan kepada media tentang sama ada harga itu sama dengan pembelian kita sebelum ini atau berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini.

Pfizer Inc. dan Moderna Inc. dilaporkan menaikkan harga dos vaksin Covid-19 keluaran mereka dan kenaikan harga itu terkandung dalam kontrak pembelian terbaharu Kesatuan Eropah (EU).

Baca artikel berkaitan: 96.7 peratus penduduk dewasa Lembah Klang terima satu dos

Difahamkan, satu dos vaksin Pfizer kini berharga 19.50 euro (RM97.65) naik daripada harga sebelumnya iaitu 15.50 euro (RM77.62).

Bagi vaksin Moderna pula, harga baharu bagi satu dos adalah sebanyak 25.50 euro (RM127.70), berbanding harga lama sewaktu kontrak perbekalan mula dimeterai iaitu sebanyak 19.00 euro (RM95.15) bagi satu dos.

Sementara itu, Khairy memaklumkan, Malaysia akan menerima penghantaran seterusnya vaksin Pfizer antara hari ini sehingga 8 Ogos depan.

Katanya, ia merangkumi sebanyak 1.863 juta dos dengan sehingga kini Malaysia telah pun menerima 11.341 juta vaksin jenis Pfizer.

“Bagi vaksin AstraZeneca, kita telah pun menerima 2.412 juta dos dan akan menerima sumbangan Kerajaan United Kingdom pada minggu ini.

“Vaksin Sinovac pula, pengedar iaitu Pharmaniaga telah melengkapkan penghantaran bekalan 14.400 juta dos dengan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) minggu ini akan buat keputusan perolehan tambahan terutama bagi menampung kadar vaksinasi harian yang tinggi dalam bulan Ogos,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram