Pada tahun 1771, seorang ahli farmasi Sweden, Karl Wilhelm Scheele, telah menemui satu unsur mengagumkan yang bertebaran meluas di muka bumi. Unsur tersebut mempunyai kepentingan sejagat dan menjadi nadi kepada kehidupan di dunia ini.

Bertitik tolak kepada penemuan itu, perspektif sains terhadap unsur tersebut mula berubah.

Karl Wilhelm Scheele.

Kajian demi kajian telah dilakukan oleh ilmuwan kuno untuk merungkai sifat kimia serta mencari fungsi sebenar kewujudannya. Antara pengkaji terawal yang terlibat dalam kajian itu ialah seorang saintis Eropah, Joseph Priestley.

Sehinggalah pada tahun 1774, ahli kimia terkenal dari Perancis, Antoine Laurent Lavoisier yang bertanggungjawab untuk mengelaskan unsur-unsur kimia mengikut kumpulan tertentu, telah menggelar unsur tersebut sebagai oksigen.

Ia adalah gabungan daripada dua perkataan Greek iaitu ‘oxus’ bererti asid dan ‘gennan’ yang bermaksud ‘menghasilkan’.

Daripada perspektif sains moden, umum mengetahui bahawa oksigen adalah sejenis gas yang mempunyai kepentingan meluas terutamanya kepada manusia dan haiwan untuk sistem pernafasan.

Ia turut merangkumi proses-proses penting yang lain seperti peredaran darah, fungsi otak, penghadaman, penyingkiran bahan buangan, pertumbuhan sel tisu, proses pembiakan serta menjadi sumber tenaga segera bagi sistem metabolisme tubuh. Dengan kata lain, kesemua proses ini tidak akan berlaku sekiranya tiada oksigen.

Sekalipun ia sekadar merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan kandungan udara bumi, namun dek kerana kepentingan serta fungsinya yang pelbagai, oksigen adalah satu-satunya unsur yang diperlukan setiap saat dalam kehidupan ini.

Gas dengan formula kimia O2 ini juga merupakan sebatian penting di seluruh jagat raya, termasuk menjadi spektrum oksigen yang terdapat dalam cahaya bintang. Bahkan, bintang tidak mampu untuk menghasilkan cahaya tanpa oksigen kerana ia membantu dalam proses pembakaran.

Konsep pembakaran tidak tertakluk kepada bintang semata-mata, tetapi ia merangkumi apa sahaja pembakaran yang melibatkan proses penyalaan api.

Dalam konteks ilmu kimia, salah satu aspek yang berperanan dalam proses pembakaran adalah oksigen. Semakin banyak jumlah oksigen dalam proses pembakaran, maka semakin lama pembakaran akan berlangsung. Tanpa oksigen, pembakaran tidak akan berlaku.

Sebenarnya, sebelum ilmu sains berjaya merungkai hubungan relatif di antara oksigen dan api dalam fenomena pembakaran, al-Quran sebenarnya terlebih dahulu telah menerangkan perkara tersebut. Namun, disebabkan pemahaman manusia terhadap ilmu sains pada ketika itu masih rendah, justeru penerangan saintifik ini tidak terlalu dititikberatkan.

Bagaimanapun, jika berdasarkan kepada piawaian sains moden, sepotong ayat daripada surah Yaasin secara jelas telah menerangkan hukum kimia tentang peranan unsur oksigen dalam proses pembakaran.

Firman Allah yang bermaksud; “Dia telah menjadikan untuk kamu api dari pohon kayu hijau (syajar), maka seketika itu juga kamu menyalakan api darinya (min)” – Surah Yaasin; ayat 80.

Ada ulama yang menterjemahkan perkataan syajar dalam ayat di atas sebagai kayu. Namun, secara harfiahnya, perkataan tersebut bermaksud pohon hijau atau dengan kata lain ia adalah pokok yang masih hidup. Justeru, apa kaitannya antara api dan pohon hijau?

Di sinilah sains memainkan peranan untuk menerangkan fakta bahawa oksigen membantu dalam proses pembakaran. Sebenarnya, kunci penjelasan sains dalam ayat ini berada pada perkataan ‘min’ yang bermaksud ‘dari’ atau ‘sesuatu yang keluar daripada’ ataupun ‘sesuatu yang berasal daripada’.

Jelas bahawa sesuatu yang keluar daripada tumbuhan hijau itu adalah oksigen yang terhasil daripada proses fotosintesis. Ia adalah proses semula jadi yang dilakukan oleh tumbuhan hijau sahaja.

Semua tumbuhan hijau mempunyai klorofil untuk membantu menukarkan cahaya matahari kepada tenaga biokimia di mana berlaku proses menguraikan air kepada oksigen dan hidrogen. Dengan kata lain, kayu-kayu kering atau ranting-ranting yang telah mati, tidak akan melakukan proses ini.

Antara surah lain yang turut memberi mesej jelas tentang proses ini ialah surah Al-Waqi’ah, ayat 71 & 72 yang bermaksud; “Tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan? Apakah kamu yang menumbuhkan pohon-pohon itu atau Kami yang menumbuhkannya?”

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare