Takiyuddin Hassan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan selamat menjalani pemeriksaan ekoran masalah jantung yang dihadapinya.

Perkara tersebut disampaikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, doktor juga telah siap memasang sten dalam saluran jantung Takiyuddin yang tersumbat.

Tuan Ibrahim turut memaklumkan, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu dijangka keluar dalam tempoh terdekat.

“Saya baru menghubungi Takiyuddin pagi ini. Alhamdulillah, beliau telah selamat menjalani pemeriksaan dan beliau maklumkan doktor telah siap memasang sten di saluran yang tersumbat.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan dijangka keluar dalam sehari dua ini. Teruskan doa agar beliau cepat sembuh sepenuhnya,” katanya dalam hantaran itu.

Baca artikel berkaitan: Azhar berkecuali usul ambil tindakan ke atas Idris,Takiyuddin

Media melaporkan Takiyuddin telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Lembah Klang sejak Jumaat lalu akibat masalah jantung.

Difahamkan Takiyuddin terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam ekoran masalah berkenaan.

Sementara itu, beberapa pemimpin utama negara turut mendoakan kesihatan Setiausaha Agung Pas termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya doakan aafiyah buat Takiyuddin yang kini baru menjalani pembedahan. Semoga lekas sembuh, Insya-Allah,” kata Anwar dalam ciapan di Twitternya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram