Kamsina Mohd Ali,52. (kiri) menunjukkan pelbagai hidangan lauk yang terdapat digerainya ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob singgah untuk membeli makanan tengahari di Gerai Makanan Kak Ina di Kerayong, Bera, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

“SAYA memang tak sangka dan terharu sangat apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘borong’ lauk-pauk di gerai ini.”

Itu kata pemilik Gerai Kak Ina, Kamsina Mohd. Ali, 52, yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas Ismail Sabri sempat meluangkan masa membeli hampir semua lauk makanan tengah hari di gerainya yang terletak bersebelahan Balai Raya Kerayong, Bera, semalam.

Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira 10 minit di gerai berkenaan selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan di Balai Raya Kerayong yang merupakan sebahagian program ‘balik kawasan’ beliau, semalam.

Rangka lawatan bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan ke seluruh Parlimen Bera itu adalah yang pertama sejak Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu.

Menceritakan pengalaman bertemu Ismail Sabri, Kamsina berkata, Ahli Parlimen Bera itu sememangnya seorang yang mesra dan sempat bertanyakan tentang perniagaannya lebih-lebih lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Kamsina Mohd Ali, 52. GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut Kamsina, dia juga tidak tahu Ismail Sabri sendiri yang ‘turun’ untuk menyampaikan sumbangan di balai raya terbabit.

“Saya tahu ada program serahan bantuan bakul makanan tapi tak tahu Ismail Sabri yang turun melawat kawasan apatah lagi dengan kesibukan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Kalau saya tahu, saya pakai baju kurung yang lawa sikit,” selorohnya ketika ditemui UtusanTV semalam.

Baca artikel berkaitan: Keprihatinan Ismail Sabri buat orang Bera ‘cair’

Kamsina berkata, kehadiran Ahli Parlimen Bera itu sedikit sebanyak ‘melegakan’ hatinya kerana perniagaan terjejas teruk sejak penularan COVID-19 awal tahun lalu.

Katanya, dia terpaksa berpindah beberapa kali kerana tidak mampu membayar harga sewa tapak gerai.

Kamsina Mohd Ali, 52, (dua dari kiri) tidak melepaskan peluang bergambar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di gerai makanan Kak Ina di Kerayong, Bera, semalam.

“Sebelum ini, saya memang berniaga hingga ke malam tapi sejak pelaksanaan PKP pertama, saya hanya membuka gerai sehingga pukul 4 petang sahaja.

“Namun, pada permulaan PKP itu memang sangat sukar dan perniagaan terjejas. Alhamdulillah, Datuk Seri (Ismail Sabri) beri kebenaran untuk buka kedai dan perniagaan ada peningkatan sedikit,” jelasnya.

Ibu tunggal yang mempunyai lapan anak itu turut berharap supaya pihak Majlis Daerah Bera dapat mengurangkan kadar sewa tapak gerainya.

“Sekarang ni saya terpaksa membayar RM450 kerana bayar kepada orang. Kalau pihak majlis dapat beri tapak baharu dengan harga lebih murah saya sangat menghargainya.

“Kadar RM450 itu kalau di bandar mungkin sedikit, tapi bagi saya sebagai peniaga kecil, jumlah itu sangat besar lebih-lebih lagi dalam keadaan orang ramai tidak dapat makan di gerai ketika ini,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram