Pegawai Perubatan memberikan suntikan Vaksin Covid-19 kepada salah seorang warga emas pada Program Imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KAEDAH pemberian vaksin secara walk-in kepada golongan warga emas akan diperluaskan ke seluruh negara mulai minggu hadapan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, secara keseluruhan di peringkat nasional, sebanyak 95 peratus warga emas seluruh negara telah pun mendaftar untuk menerima vaksin.

Atas dasar itu, Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah membuat keputusan untuk memperluaskan kaedah secara walk-in ke seluruh negara.

Sebelum ini, kaedah secara walk-in bagi warga emas yang belum menerima janji temu telah dilaksanakan di Lembah Klang.

Beliau memaklumkan, pelaksanaan pemberian vaksin kepada warga emas secara walk-in akan diumumkan CITF negeri masing-masing.

“Ada negeri-negeri yang telah mulakan proses itu dan ada juga telah bersedia untuk menerima walk-in bagi semua warga emas masih belum menerima vaksin mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) negeri.

“Pengumuman akan dibuat di peringkat CITF negeri berkenaan dengan walk-in untuk warga emas tetapi secara dasarnya di peringkat CITF Persekutuan kita dah buat keputusan tersebut.

Baca artikel berkaitan: Lebih 21 juta vaksin diberi, 6.952 juta lengkap dua dos

“Kita serahkan kepada negeri untuk buat pengumuman tarikh pelaksanaan dan PPV yang akan menerima walk-in untuk golongan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan CITF hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, inisiatif secara walk-in bagi warga emas di Lembah Klang pula akan diteruskan selepas ini.

Katanya, butiran untuk janji temu dos kedua bagi warga emas yang walk-in ke PPV akan dimaklumkan kelak dalam aplikasi MySejahtera.

“Warga emas masih boleh terus walk-in ke mana-mana PPV di Lembah Klang tidak terhad kepada sembilan PPV yang disenaraikan.

“Bagi warganegara Malaysia 40 tahun ke atas atau individu mempunyai komorbiditi yang tidak mempunyai sebarang janji temu, tidak berdaftar atau membatalkan pendaftaran mereka sebelum ini mestilah pergi ke PPV yang dikhususkan untuk proses walk-in,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram