PENYANYI rap kelahiran Singapura, Yung Raja tampil dengan single terbaru berjudul Spice Boy yang menggabungkan lirik bahasa Tamil dan Inggeris.

Merupakan hasil ciptaan Flightsch dan Riidem, dia menyatakan sudah waktunya untuk menerima sepenuhnya diri sendiri dan identiti budaya dalam pelbagai dimensi hip-hop Asia.

“Sejak kecil, saya selalu bangga dengan budaya dan asal usul saya, bahasa ibunda saya, semua yang menjadikan saya ‘saya’.

“Belajar menerima semua perkara tersebut dari usia yang sangat muda, adalah salah satu sebab dwibahasa diselitkan dalam seni saya. Seorang budak lelaki yang boleh bertutur dalam dua bahasa, dilahirkan di Singapura dan dibesarkan oleh ibu bapa yang berasal dari India Selatan, inilah diri saya.

“Saya masih ingat pertama kali mengenali muzik hip-hop ketika berumur 10 tahun dan bagaimana ia meninggalkan kesan serta paling kuat secara kreatif dalam diri saya. Itu adalah titik awal identiti dan suara saya bersatu dengan budaya hip-hop.

“Untuk single kelima saya, FlightSch, Riidem dan saya bersama-sama mencipta bunyi yang saya luar biasa dan bertenaga,” katanya.

Bukan pengembaraan Yung Raja namanya tanpa video muzik yang memenuhi semua jangkaan, tidak lupa juga penuh dengan ‘mad vibes’ yang hanya dapat ditingkatkan oleh Vadbibes atau pengarah dan rakan kerjasama Jasper Tan.

Video sinematik selama tiga minit itu menggabungkan aksi gila-gila, rambut palsu keriting, kostum angin sumo dan gambar ‘closeups’ yang menjengkelkan, semuanya dirakam indah dengan kepakaran Jasper.

Kelucuan ditonjolkan pada lokasi yang luar biasa yang kelihatan seperti Hollywood, tetapi Yung Raja mencuri perhatian dengan menerapkan gaya kasar Rajnikanth.