Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Facebook MKN

SEBANYAK 317 kes baharu daripada 17,105 yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori 3, 4 dan juga 5.

Jumlah 317 kes itu juga bermakna hanya 1.9 peratus daripada jangkitan baharu merupakan kategori lebih serius berdasarkan keadaan klinik semasa awal didiagnosis COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, baki 16,788 kes atau 98.1 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Secara keseluruhan, kata beliau, hanya 3,115 kes atau 18.2 peratus daripada jumlah kes dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan data, hanya lapan kes mempunyai sejarah vaksinasi berada dalam kategori 5; 18 di kategori 4 dan 48 dalam kategori 3.

“Sementara itu, sebanyak 2,255 kes yang telah menerima vaksin hanya bergejala ringan semasa didiagnos COVID-19 manakala 786 yang mempunyai sejarah vaksinasi tidak bergejala.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baru didiagnosis COVID-19.

Baca artikel berkaitan: 98.2 peratus kes baharu dalam kategori 1 dan 2, 219 kematian

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategori 1 bagi pesakit COVID-19 adalah tidak bergejala manakala kategori 2 pula bergejala ringan.

Bagi kategori 3, pesakit mempunyai radang paru-paru dan memerlukan rawatan serta pemerhatian di hospital.

Kategori 4 pula adalah radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dengan purata jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama 14 hari.

Kategori 5 pula berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan serta purata jagaan di ICU selama 21 hari.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 1,066 kes memerlukan rawatan di ICU dengan 537 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kes aktif pula telah meningkat kepada 203,664 kes manakala 12,297 diumumkan sembuh hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 195 lagi kes kematian telah dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan kumulatif korban mencecah 9,598 kes.

Menurut Dr. Noor Hisham, kematian hari ini melibatkan 173 warganegara manakala 22 lagi bukan rakyat Malaysia.

Katanya, sebanyak 88 kes dilaporkan di Selangor, 24 di Johor, 15 di Pulau Pinang dan 13 di Kedah.

“12 korban telah dikesan di Sabah, masing-masing lapan kes di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang manakala tujuh di Terengganu.

“Perak turut mencatatkan empat kes diikuti tiga di Kelantan, dua di Sarawak dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Labuan dan Perlis.

“45 daripada jumlah keseluruhan kematian hari ini tiada sejarah penyakit manakala 34 merupakan kes brought in dead (BID) atau jenazah dibawa ke hospital,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram