lupa kepada Allah

Doa hanyalah satu ungkapan dalam menyampaikan apa yang tersimpan di dalam hati. Ia boleh dibaca dengan apa juga bahasa kerana itu merupakan satu permintaan antara hamba dengan Penciptanya.

Allah sudah mengerti dari dalam hati apa yang kita panjatkan. Allah memahami segala bentuk bahasa yang kita ucapkan.  Allah tidak hanya mengerti bahasa Arab sahaja, bahkan Allah juga mengerti semua jenis bahasa termasuk bahasa kalbu.

Tidak semestinya perlu menggunakan bahasa yang berbunga-bunga indah. Cukup hanya dengan bahasa yang mudah kita faham, itu sudah pun memadai.

Terdapat satu kisah, seorang pemuda selalu berbicara dengan Allah setiap masa terutama ketika ingin melakukan sesuatu sama ada ketika ingin makan, berjalan, tidur dan sebagainya rutin kehidupan.

Pemuda itu menjadikan Allah sentiasa berada di sampingnya. Sudah menjadi kelazimannya juga, apabila ingin pergi ke sesuatu destinasi dia akan berbicara dan memohon petunjuk dari Allah agar membantunya. Alhamdulillah sepanjang perjalanan ke mana-mana destinasi dia tidak sesat atau menghadapi sebarang masalah.

Bicaralah dengan Allah melalui doa, dan mintalah apa pun kepada Nya, insya Allah dimakbulkan Allah

Namun, satu hari ketika ingin menuju ke satu destinasi, dia terlupa untuk berbicara dan memohon petunjuk dari Allah sebagaimana lazimnya kerana terleka dan hanya bergantung pada GPS yang baru dibeli. Akhirnya pemuda tersebut menghadapi kesulitan dan sesat sekalipun mempunyai GPS.  

Menurut imam Jaafar ash-Shadiq, orang yang selalu berdoa kepada Tuhan di kala senang, doanya pasti dijawab di kala dia mengalami kesusahan. Suara dari langit akan berkata, “Ini suara yang kami kenal.” dan tidak akan hilang dari langit.

Sebaliknya orang melupakan tuhan ketika diberi kesenangan, tuhan tidak menjawab doa mereka ketika mengalami musibah. Penghuni langit tentu berkata,

“Itu suara yang kami tidak kami kenal.” Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah at-Taubah: 68

Mereka melupakan Tuhan, maka Tuhan melupakan mereka.

Allah juga turut berfirman dalam surah al-Ghafir: 60, “Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina.”

Bicara Allah Kepada Hamba

Sebagai seorang muslim, wajib mempercayai bahawa salah satu dari sifat-sifat al-Khalik adalah Kalam (berkata-kata). Walau bagaimanapun perbicaraan Allah tidak sama dengan perbicaraan manusia, kerana Allah tidak mempunyai organ (pancaindera) seperti lidah dan mulut yang di miliki oleh hambanya.

Sekalipun Allah berbicara tanpa menggunakan alat bantu yang berbentuk apa pun, namun sifat kalam Allah sangat sempurna dan jelas. Ini dibuktikan melalui firman-Nya dalam surah an-Nisaa: 164,

“Dan dengan Musa, Allah berfirman secara langsung.”

Dari ayat tersebut jelas keistimewaan nabi Musa a.s. adalah dapat berbicara secara langsung dengan Allah. Dek kerana itu juga Baginda digelar Kalimullah. Hal yang sama turut berlaku kepada nabi Muhammad s.a.w.

Baginda diberi kelebihan untuk berbicara secara langsung dengan Allah, sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj di Sidratul Muntaha. Sebaliknya bagi rasul-rasul yang lain, mereka hanya berpeluang untuk berinteraksi dengan Allah melalui perantaraan malaikat Jibril dan tidak berlaku secara langsung.

Itu keistimewaan bagi nabi, kerana mereka adalah manusia terpilih yang diberi kelebihan sebagai utusan Allah. Tetapi bagaimana pula kita sebagai manusia biasa? Adakah hanya sekadar menadah tangan memohon doa sahaja untuk didengari-Nya, atau juga mampu untuk berinteraksi dengan Allah?

Sedarkah bahawa setiap hari Allah tidak pernah melupakan kita. Dia ada bersama kita walau di mana sahaja kita berada. Bahkan dia juga sentiasa berbicara dengan kita. Hanya mungkin kita sahaja yang tidak menyedarinya atau tidak ingin berbicara dengannya.

Bacalah al-Quran kerana itu cara kita berinteraksi dengan Allah SWT

Seseorang pernah menyatakan, untuk mencari jawapan bagi permasalahan yang dihadapi adalah dengan membaca al-Quran, kerana ia kalamullah yang mana Allah akan memberi petunjuk melalui ayat-ayat yang dibaca. 

Ada antara kita yang masih belum menjadikan al-Quran sebagai satu keperluan sedangkan al-Quran merupakan kalamullah dan menjadi petunjuk dalam hidup. Jika manusia ingin berbicara dengan Allah maka perlu membaca al-Quran kerana ia kalam Allah.

Sekiranya membuka mana-mana helaian atau surah, ia tetap sebagai pemberi petunjuk kerana itu bukan usaha kita tetapi Allah membimbing dengan kekuasaan-Nya.

Ini mungkin kerana keikhlasannya, maka apabila membuka mana-mana helaian, Allah memberikan jawapan pada permasalahannya. Jika membacanya pun jiwa akan menjadi tenang kerana al-Quran merupakan nur.

Spesifik perbuatan tersebut tiada nas, tetapi lebih kepada satu usaha manusia. Hakikatnya mana-mana ayat tetap memberi petunjuk dan itulah antara interaksi Allah dengan hamba-Nya. Wallahu a’lam

_____________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram