BERSEMPENA Olimpik Tokyo 2020, Margasatwa telah merakamkan semula lagu Yang Asli dalam versi bahasa Jepun sebagai tanda penghormatan kepada pasukan Malaysia yang telah mengharumkan nama negara.

Ia merupakan kolaborasi antara Margasatwa dan CakapJepun.com, sebuah pusat pembelajaran Bahasa Jepun yang ditubuhkan oleh anak tempatan yang merupakan graduan sebuah universiti di Jepun.

Menurut Kimal, “Kami bukan sekadar nak tujukan pada atlet Malaysia yang tengah berjuang,tapi untuk semua rakyat Malaysia yang sekarang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Saya telah olah lirik asal supaya lebih tepat dengan tema semangat Olimpik. Terjemahan ke dalam Bahasa Jepun oleh Izzat Sensei dari CakapJepun.com memberikan makna yang lebih mendalam.

“Apapun pencapaian oleh atlet negara pada temasya sukan Olimpik, kita seharusnya bangga dan memberi sokongan penuh kepada mereka sewaktu menang ataupun kalah kerana mereka telah berjuang dan melakukan yang terbaik demi Malaysia.

Kimal yang merupakan vokalis dan komposer utama Margasatwa merupakan seorang graduan dari Tokai University, Jepun.

Yang Asli sebuah karya buat atlet negara yang berjuang di sukan Olimpik Tokyo 2020

“Ini juga sebuah hiburan berbentuk pelajaran subjek Bahasa Jepun. Para pendengar boleh merujuk kepada sari kata pada video di Youtube untuk belajar sedikit sebanyak bahasa Jepun dan terjemahan dalam Bahasa Melayu,” ujar Fadhil, selaku penyusun lagu dan pemain gitar utama Margasatwa.

Sementara itu, seorang pensyarah dan alumni unversiti Jepun, Dr. Abdul Nasir, menyifatkan pada minit pertama Yang Asli seperti kedengaran bunyi muzik Melayu dan anime. Mengimbau zaman Gaban dan Kesatria Baja Hitam.Kreatif dan Klinikal.

Yang Asli boleh dijadikan medium untuk menguasai bahasa Jepun

Kolaboratif itu adalah yang pertama kali dan mendapat perhatian ramai pendengar muzik serta penikmat sukan Olimpik dari Malaysia dan Jepun. Ini merupakan sebuah inisiatif yang baik untuk mengukuhkan hubungan dua negara serta rakyatnya.