PERNAHKAH anda dengar tentang Kota Mengkuang? Ia sebuah kota yang dipercayai pernah menjadi pusat pemerintahan Islam di Kedah sekitar tahun 1800 Masihi. Difahamkan, kota ini dibina berhampiran Sungai Padang Terap dalam mukim Wang Tepus di Kubang Pasu, Kedah.

Mengikut cerita lisan daripada penduduk tempatan, kota tersebut merupakan sebuah lokasi persembunyian seorang raja siam bernama Yamtuan Syarif Syah atau juga dikenali Sultan Syarif Abu Bakar Syah. Baginda merupakan raja terakhir empayar Ayutthaya di Ligur (Nakhon Sri Thammarat), seorang raja Siam beragama Islam.

Selepas kejatuhan kerajaan Ayutthaya pada tahun 1767, Yamtuan Syarif Syah mengambil peluang untuk mengisytiharkan kemerdekaan Ligur daripada taklukan Siam.

Bagaimanapun, usahanya itu menemui kegagalan apabila tentera Siam yang baru digelar Sukothai menyerang Ligur. Keadaan itu memaksa Yamtuan Syarif Syah dan seluruh angkatan perangnya termasuk kaum kerabatnya berundur ke Singgora untuk menyelamatkan diri. Malangnya tentera Sukhotai terus memburu baginda. Keadaan itu memaksanya untuk meneruskan perjalanan hingga ke Legih.

Gambaran tentera Siam Sukothai.

Dari Legih, angkatan ini dianggarkan sebanyak 40 ekor gajah telah merentasi hutan dan bukit sebelum memasuki Kedah (ada juga yang mengatakan rombongan yang berundur ini terdiri daripada 500 ekor gajah dengan seramai 5,000 orang pengikut).

Mereka sampai di sebuah sungai lalu menyusuri sungai itu hingga sampai ke satu lokasi yang mempunyai sebuah bukit kecil. Lokasi itu dilihat sangat sesuai untuk dijadikan kubu perlindungan.

Di sinilah bermulanya era kewujudan masyarakat Kota Mengkuang (ketika itu disebut sebagai Kota Meng Kwang). Dipercayai, kota ini mendapat nama daripada tumbuhan mengkuang yang banyak terdapat di sekitar tebing. Namun, ada juga cerita mengatakan nama kota ini wujud kerana penduduk di situ telah menanam banyak pokok mengkuang untuk menyembunyikan kota itu dari pandangan musuh.

Kami pernah menemubual wakil dari Persatuan Sejarah Cawangan Kedah dahulu yang mengesahkan kewujudan Kota Mengkuang. Berdasarkan beberapa rujukan bertulis, kota ini merupakan sebuah kubu perlindungan Yamtuan Syarif Abu Bakar Syah bersama kaum kerabatnya dan seluruh pengikutnya daripada buruan tentera Siam.

Kota ini merupakan sebuah lokasi strategik untuk berlindung daripada serangan musuh. Mengikut beberapa sumber pengkaji, kota ini dipercayai dibina dalam tempoh masa seminggu saja oleh tentera Yamtuan ini. Proses pembinaan adalah dengan menebuk bukit berkenaan sebelum ditimbunkan dengan tanah untuk membina dinding kukuh bagi menangkis serangan musuh daripada darat. Dikatakan juga ia dibina daripada tanah yang dicampur madu lebah.

Berdasarkan beberapa bukti lisan penduduk terdahulu, kota tersebut mempunyai dua ruang utama yang menempatkan sebuah bilik penginapan dan bilik penghadapan iaitu ruang atau tempat menghadap raja di dalam istana. Turut dijumpai tujuh buah telaga yang dipercayai digunakan oleh penduduk di kota ini untuk berwuduk.

Antara penemuan penting yang turut ditemui adalah sebuah tapak perkuburan yang dipercayai makam Diraja. Kuburan ini terletak tidak jauh daripada bekas kota tersebut. Di sini hanya kelihatan batu nisan Acheh yang telah serpih.

Lakaran peta Kota Mengkuang.

Selain itu, turut dijumpai beberapa kesan binaan yang berkemungkinan menjadi sebuah pangkalan kapal atau perahu di tebing Sungai Wang Tepus. Turut ditemui juga adalah kesan binaan yang dipercayai anak tangga atau laluan menuju ke pangkalan tersebut. Malangnya, disebabkan kegiatan kuari di kawasan itu, artifak itu telah musnah dan tenggelam ke dasar sungai.

Struktur dan kesan peninggalan kota ini masih jelas kelihatan sewaktu zaman pasca kemerdekaan. Namun kini, selepas lebih 100 tahun, kesannya sudah hilang sama sekali.

Dahulu selepas zaman kemerdekaan, orang ramai masih boleh melihat kesannya dengan melalui sebuah jalan lama yang menyusuri Sungai Wang Tepus. Ketika itu, bahagian hadapan Kota Mengkuang masih lagi berdiri teguh. Bagaimanapun, kesemua peninggalan itu sudah tidak dapat dilihat lagi hari ini.

Kota ini telah lenyap ditelan zaman. Ditambah dengan faktor modenisasi serta proses pembinaan jalan raya dan aktiviti penerokaan kuari, bukti-bukti kewujudan kota ini telah musnah sama sekali. Sebahagian tapak asal kota ini juga telah menjadi kebun getah dan kilang.

Sungguhpun Kota Mengkuang telah lenyap ditelan zaman, tetapi saki-baki keturunan masyakat Kota Mengkuang masih boleh ditemui sehingga ke hari ini. Antara lokasi penempatan mereka adalah di Kampung Tualang, daerah Pokok Sena, Alor Setar.

Kawasan kampung ini terletak 20 kilometer daripada bandar Alor Setar. Mengikut asal usulnya, kampung ini diasaskan oleh orang-orang Melayu Ligur iaitu pengikut Yamtuan Syarif Abu Bakar pada abad ke-13 hingga 18. Selain kampung ini, susur galur keturunan masyarakat Kota Mengkuang ada di beberapa buah kampung lain berhampiran kawasan ini.

Dipercayai, makam Yamtuan Syarif Syah terletak di Kampung Tualang dan dikatakan ia adalah makam pertama yang wujud di kampung tersebut. Baginda dilaporkan mangkat selepas terbunuh dalam satu peperangan sengit antara pahlawan Melayu Islam Ligur dengan tentera Sukhotai di Kota Mengkuang.

Makam Yamtuan Syarif Syah, raja Siam beragama Islam yang terakhir dari empayar Ayutthaya di Kampung Tualang.

Dalam peristiwa yang disebut sebagai ‘Musuh Bisik 1821’ itu, Yamtuan Syarif Syah bersama kaum kerabat dan pengikutnya telah dibunuh oleh tentera Siam dengan kejam. Mengikut cerita orang-orang dahulu, penghuni Kota Mengkuang ini sama ada lelaki, wanita, tua muda termasuk kanak-kanak dibunuh tanpa belas kasihan oleh tentera Siam.

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare