pegawai

SEORANG pelawak terkenal ditahan polis pada Ahad lalu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Memetik laporan Harian Metro Online, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, pelawak lelaki berusia 40-an itu ditahan dalam serbuan Ops Pintas oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah selepas melakukan risikan.

Menerusi Ops Pintas, kami berjaya menahan seorang lelaki dan menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya.

Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 10.00 pagi itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang untuk tujuan eksploitasi seks.

Jelasnya, polis turut merampas sebuah Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon bimbit.

“Suspek direman selama empat manakala mangsa yang diselamatkan mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Suspek juga dikenakan kompaun bagi kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang ini,” katanya.