Oleh DATUK SAIFUL BAHAR ARSHAD

Petang ini selepas  Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi  UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi umum UMNO menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasionsl (PN).

Dari sumber, seramai 12 orang Ahli Parlimen UMNO telah menandatangani Akuan Bersumpah tarik diri. Seorang menteri meletak jawatan, iaitu   Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk  Shamsul Anuar Nasarah.

Kerajaan PN ketika ini dipercayai mempunyai sokongan seramai 103 ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Secara realitinya, kerajaan Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Malam ini, kerajaan yang sedia ada, berfungsi sebagai satu kerajaan minoriti. Bermakna, kerajaan yang tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat tetapi merupakan kerajaan yang mempunyai sokongan terbesar dengan seramai 103 orang.

Sehingga ada individu dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan 111 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, untuk diangkat jadi Perdana Menteri, kerajaan sedia ada kekal sebagai sebuah kerajaan minoriti.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan hanya ada 89 orang ahli Parlimen. Warisan (8), Pejuang (4), Muda (1). PSB (2). UMNO yang menarik sokongan dengan seramai 12 orang, tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk diangkat menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, tiada siapa mempunyai angka.

Yang di-Pertuan  Agong juga jelas kelihatan di bawah Perlembagaan, tidak mempunyai kuasa untuk melantik seorang individu lain sebagai Perdana Menteri interim sekiranya Muhyiddin tidak meletakkan jawatan.

Apa pun, mana-mana idividu yang berangan mahu menjadi Perdana Menteri perlu menunggu sehingga bulan September, apabila Dewan Rakyat bersidang, untuk individu tersebut membuktikan beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen mencukupi.

  • Penulis adalah penganalisis politik